DUA pemain Syria cuba mengekang kemaraan pemain skuad negara. FOTO FAM
DUA pemain Syria cuba mengekang kemaraan pemain skuad negara. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menegaskan kejayaan mengikat pasukan di ranking 91 dunia, Syria 2-2 dalam aksi persahabatan terakhir menjelang kempen Piala Asia sebagai permulaan positif dan menyuntik elemen keyakinan di jiwa setiap pemain.

Jelas Pan-gon, beliau amat berpuas hati dengan persembahan barisan pemainnya dalam aksi pemanas badan berlangsung secara tertutup di Stadium Grand Hamad di Doha, Qatar, awal pagi tadi.

Katanya, selepas hampir sebulan pasukan negara hanya menjalani latihan tanpa sebarang aksi kompetitif, anak buahnya tetap mampu mempamerkan aksi terpuji sebelum memulakan kempen Piala Asia dengan menentang Jordan di Stadium Al Janoub, pada awal pagi Selasa depan waktu Malaysia.

Ujar pengendali dari Korea Selatan itu lagi, beliau memberi peluang kepada semua pemain beraksi bagi mendapatkan momentum sebelum turun 'berperang' di medan sebenar nanti.

"Ia permulaan yang baik, kita mampu beri saingan kepada pasukan di ranking 91 dunia. Saya amat gembira dengan persembahan pemain terutama di babak pertama.

"Hari ini (awal pagi tadi) kita beri semua pemain peluang untuk mendapatkan minit permainan di mana kita buat pertukaran yang banyak di pertengahan babak kedua.

"Bukan mudah bermain selepas membuat banyak pertukaran di minit 65, apapun saya gembira kita bangkit selepas ketinggalan untuk ikat permainan dengan 2-2.

"Malah di hujung permainan kita kembali kuasai permainan untuk beri tentangan sengit kepada pasukan ranking 91 itu, dan saya fikir pemain semakin berkeyakinan sebelum kita turun menentang Jordan.

"Saya percaya kita mampu bersaing sebaik aksi pertama (Piala Asia) bermula nanti," katanya di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Jordan dan dua lagi lawan iaitu Bahrain dan Korea Selatan.

Dalam aksi ujian terakhir itu, Pan-gon menurunkan hampir kesemua pemain bagi menguji keupayaan anak didiknya selepas tiba ke Qatar sejak minggu lalu.

Malaysia yang menduduki ranking 130 dunia bermula garang apabila mendahului menerusi jaringan pemain sensasi negara, Arif Aiman Hanapi pada minit 39 untuk menamatkan aksi babak pertama memihak kem negara.

Bersambung separuh masa kedua, Syria yang diletakkan dalam Kumpulan B dan akan membuka kempen Piala Asia menentang Uzbekistan Ahad ini tampil lebih tersusun.

Hasilnya mereka berjaya meraih dua gol melalui Pablo Sabbag pada minit 70 dan Ibrahim Hesar empat minit kemudian.

Skuad Harimau Malaya tidak menyerah kalah apabila tonggak naturalisasi, Paulo Josue mengikat kedudukan di minit 78 sekali gus keputusan itu kekal hingga tamat aksi.

"Sejak akhir tahun lalu kita mulakan kem latihan di hujung Disember, kita tidak mempunyai perlawanan rasmi untuk menguji pemain.

"Ini perlawanan pertama kita selepas hampir sebulan, saya fikir sangat baik sekali. Bagi saya aksi ini beri manfaat berguna kepada kita sebelum bermulanya kempen sebenar," kata Pan-gon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 8:55 AM