PEMAIN tengah, Safiq Rahim (tengah) meraikan jaringannya menerusi sepakan percuma ketika menang 2-0 ke atas Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN tengah, Safiq Rahim (tengah) meraikan jaringannya menerusi sepakan percuma ketika menang 2-0 ke atas Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejayaan membenam Hong Kong, 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, belum mampu membuatkan pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon 'tersenyum' sebelum mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2023 bermula 8 Jun ini.

Ini kerana, Pan-gon melihat barisan anak buahnya belum mencapai tahap diinginkan, sekali gus menuntutnya melakukan beberapa penambahbaikan untuk tampil lebih meyakinkan kelak.

Beliau berkata, barisan pemain sudah mula menyesuaikan diri dengan corak permainan ditampilkan terutama mengekalkan disiplin tinggi, fokus dan konsisten sepanjang tempoh perlawanan menentang Hong Kong.

"Jadi, hari ini bukanlah kemenangan menjadi perkara utama, namun lebih kepada permainan konsisten seperti ini dan kita boleh melakukannya.

"Pemain membuktikan semangat, tenaga dan semua keinginan mereka kepada kita. Semoga peminat dapat menikmatinya.

"Pada saya, ini masih belum 100 peratus tapi kita mengorak langkah demi langkah untuk memenuhi jangkaan peminat," katanya.

Terdahulu, pasukan negara boleh dikatakan mendapat 'tonik' menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2023 apabila meraih dua kemenangan dalam tempoh enam hari pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas menewaskan pasukan ranking ke-191 dunia, Brunei 4-0 pada Jumaat lalu, anak buah Pan-gon meneruskan rentak kemenangan mengatasi Hong Kong 2-0 malam tadi.

Tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) menyumbang dua gol kemenangan pada minit ke-31 menerusi sepakan penalti Muhammad Safawi Rasid dan sepakan percuma Safiq Rahim pada penghujung perlawanan.

Skuad Harimau Malaya yang diletakkan dalam Kumpulan E akan mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 2:54 PM