BARISAN pemain Sri Pahang FC menggayakan jersi baharu skuad itu bagi musim 2024/2025. FOTO ASROL AWANG
BARISAN pemain Sri Pahang FC menggayakan jersi baharu skuad itu bagi musim 2024/2025. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) menyasarkan tiga kedudukan teratas dalam saingan Liga Super bagi musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata sasaran itu berdasarkan pengalaman dan barisan pemain musim baharu yang dilihat lebih mantap dalam membantu pencapaian lebih baik berbanding musim lalu.

"Musim lalu Sri Pahang FC menamatkan kedudukan kelima Liga Super dan dengan kemasukan beberapa pemain baharu berpengalaman termasuk import, sasaran tiga kedudukan teratas Liga Super adalah yang terbaik.

"Insya-Allah dengan semangat dan sokongan peminat setia Tok Gajah termasuk beraksi di gelanggang baharu (Stadium Majlis Perbandaran Temerloh) di Temerloh, sasaran itu mampu dicapai," katanya pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pemain Sri Pahang musim 2024/25, hari ini.

Pada musim baharu, SPFC mengumumkan kerjasama strategik bersama Voltra Pro dengan melancarkan jersi yang diyakini akan memperbaharui identiti dan pengalaman penyokong bola sepak Pahang.

Tiga jersi yang diumumkan itu ialah kuning dan biru jersi beraksi di gelanggang sendiri yang diberi nama tempoyak yang bermotif makanan wajib warisan negeri Pahang, dengan warna berani yang mencerminkan pelbagai ramuan dan rasa serta semangat kebersamaan komuniti.

Jersi kedua iaitu di gelanggang lawan berwarna coklat muda yang mengambil inspirasi kopi latte seperti secawan kopi sempurna yang membangkitkan semangat.

Manakala jersi alternatif diberi nama Tok Gajah, yang diinspirasikan warna dan corak kulit gajah yang melambangkan kemegahan dan kekuatan terutama apabila bertandang ke gelanggang lawan.

Mohammed Suffian berkata, nilai penajaan kerjasama strategik itu berjumlah RM1 juta yang bukan sahaja menaja jersi skuad Liga Super, malah skuad Sri pahang bawah 23, 20 dan 18 tahun.

"Oleh itu kita mengharapkan kerjasama ini akan membantu meningkatkan pencapaian terbaik Sri Pahang yang diperkuatkan 25 pemain, masing-masing 19 tempatan dan enam import," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 9:09 PM