KHIDMAT Salah diperlukan oleh skuad kebangsaan Mesir. FOTO AFP
KHIDMAT Salah diperlukan oleh skuad kebangsaan Mesir. FOTO AFP
Agensi

London: Mohamed Salah bersiap sedia turun bersama Liverpool bagi pertembungan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal awal pagi Ahad ini namun dia mungkin terlepas dua lagi perlawanan berdepan The Gunners.

Penyerang berusia 31 tahun itu terdesak untuk mengemudi pasukan kendalian Jurgen Klopp mengatasi The Gunners sekali gus merampas semula tangga teratas di Anfield.

Bagaimanapun, penjaring terbanyak Liverpool dengan 15 gol itu akan mengalih tumpuannya mewakili Mesir pada Piala Negara-Negara Afrika selepas ini.

Prospek kehilangan penjaring terbilang mereka sekitar empat minggu setiap dua tahun bagi kejohanan itu satu masalah yang diharungi Klopp sejak mengikat Salah dari AS Roma pada tahun 2017.

Namun senario itu tidak semakin mudah dan sekali lagi bos The Kop perlu menyesuaikan taktikalnya bulan depan susulan ketiadaan penyerang itu.

Piala Negara-Negara Afrika bermula pada 13 Januari di Ivory Coast dengan perlawanan akhir dijadual pada 11 Februari.

Salah dan pasukannya, yang berharap untuk membalas dendam kekalahan memilukan di tangan Senegal pada kejohanan lalu, diundi dalam Kumpulan B di samping Ghana, Cape Verde dan Mozambique.

Dia bukan satu-satunya pemain bintang liga utama yang tampil bagi tugasan antarabangsa dan ia menyebabkan Liga Perdana memperkenalkan rehat dua minggu - sekalipun perlawanan masih akan dilangsungkan setiap hujung minggu dalam tempoh itu.

Ketika sesetengah pemain mendapat rehat, Salah berpotensi terlepas tujuh perlawanan bersama Liverpool.

Selepas membantu Liverpool layak ke separuh akhir Piala Liga dengan membenam West Ham 5-1, mereka kini berdepan Fulham dalam dua aksi separuh akhir pada 10 dan 24 Januari.

The Reds juga akan berdepan Arsenal pada pusingan ketiga Piala FA Inggeris pada 7 Januari.

Liverpool kembali ke aksi EPL di gelanggang lawan menentang Bournemouth pada 21 Januari dan mereka akan beraksi tiga lagi perlawanan liga utama hingga minggu terakhir final Piala Negara-Negara Afrika.

Ia termasuk dua perlawanan genting menentang Chelsea dan Arsenal sekali lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 5:30 PM