SALAH bantu Mesir ke final Piala Negara-Negara Afrika. -FOTO AFP
SALAH bantu Mesir ke final Piala Negara-Negara Afrika. -FOTO AFP
AFP

Johannesburg: Bintang Liverpool Mohamed Salah membantu gol penyamaan untuk Mesir ketika mereka mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Guinea seterusnya mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika 2023.

Serhou Guirassy meletakkan Guinea di depan pada minit ke-26 di bandar Marrakech tengah Maghribi dan pemain gantian, Mahmoud Trezeguet menyamakan kedudukan tiga minit sebelum separuh masa selepas menerima hantaran Salah.

Bekas penyerang Aston Villa, Trezeguet meledak gol kemenangan minit ke-79 hasil hantaran silang Mostafa Mohamed untuk menewaskan penjaga gol Ibrahima Kone dalam aksi perlawanan hari kelima Kumpulan D.

Malam yang mengecewakan buat Trezeguet pemain yang berpangkalan di Turki, apabila dia dilayangkan kad kuning pada masa tambahan selepas enggan diusung dari padang berikutan kecederaan dan memilih untuk berjalan.

Salah melakukan beberapa percubaan untuk membantu Mesir menyertai tuan rumah Ivory Coast, Algeria, Burkina Faso, Maghribi, Senegal, Afrika Selatan dan Tunisia ke peringkat akhir pada 13 Januari.

Antara lapan negara yang sudah mengesahkan tempat ke kejohanan membabitkan 24 pasukan itu, hanya Burkina Faso yang belum menjulang trofi kebanggaan Afrika itu.

Ia adalah kemenangan peringkat kumpulan yang ketiga berturut-turut daripada bekas juara Piala Negara-Negara tujuh kali itu selepas tewas 0-2 kepada Ethiopia pada Jun lalu yang menyebabkan jurulatih Ehab Galal kehilangan tugasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 8:07 AM