SAFAWI masih berbisa untuk menjulang TFC musim depan.
SAFAWI masih berbisa untuk menjulang TFC musim depan.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC menyambut baik keputusan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid untuk kembali menabur bakti di bumi kelahirannya pada musim depan.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, kepulangan pemain Harimau Malaya itu selepas tujuh tahun berkelana bersama JDT begitu dialu-alukan lebih-lebih lagi skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu perlu lebih berkualiti pada musim depan.

"Kami penyokong TFC menyambut baik keputusan Pawi untuk kembali menabur bakti di bumi Terengganu pada musim depan. Ini kerana TFC memerlukan penyerang berkualiti serta laju seperti Pawi untuk menyaingi pasukan lain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) pada April tahun depan.

"Kami harap kehadiran Pawi yang dilihat masih berbisa mampu meningkatkan lagi pencapaian pasukan berbanding musim ini muncul naib juara Piala Malaysia," kata Mohd Isa.

Terdahulu portal akhbar ini mengesahkan Safawi bakal menyarung jersi TFC pada musim depan selepas dia sendiri menyatakan hasrat untuk pulang berbakti bersama pasukan negeri kelahirannya.

Bagaimanapun pemain yang pernah berkelana di Portugal beraksi bersama kelab Portimonense pada 2020 dan kelab Thailand, Ratchaburi FC pada awal musim ini akan beraksi bersama TFC sebagai pemain pinjaman.

Safawi memulakan kariernya bersama kelab Terengganu, T-Team pada 2014 hingga 2016 sebelum berhijrah ke JDT pada 2017.

Sepanjang tujuh tahun berkhidmat bersama skuad Harimau Selatan itu, pemain kebangsaan itu sudah menjaringkan 27 gol sepanjang 87 penampilannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 6:49 PM