BADRUL Afzan (kanan) kekal membantu Tommy bersama skuad TFC. FOTO TFC
BADRUL Afzan (kanan) kekal membantu Tommy bersama skuad TFC. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tiada perubahan dalam barisan kejurulatihan skuad Terengganu FC (TFC) apabila penolong jurulatih musim lalu, Badrul Afzan Razali kekal bersama ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Bagaimanapun, ada sedikit perubahan dalam barisan kejurulatihan skuad 'adik', TFC II apabila penolong jurulatih musim lalu, Subri Sulong bakal diberi tugas baharu sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, kejayaan membanggakan TFC selepas muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu menyaksikan barisan kejurulatihan skuad utama dikekalkan.

"Berdasarkan pencapaian musim lalu terutama muncul naib juara Piala Malaysia, pihak pengurusan bersetuju untuk mengekalkan Badrul Afzan sebagai pembantu kepada Tommy (Tomislav) pada musim baharu ini.

"Ada sedikit perubahan dalam saingan Piala MFL (Liga Bolasepak Malaysia) apabila bekas penyerang kebangsaan, Haris Safwan Kamal bakal membantu ketua jurulatih, Hairuddin Omar dalam skuad TFC II.

"Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Subri Sulong diberi tugas baharu sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden dan dibantu Roshadi Wahab.

"Kita meletakkan harapan tinggi kepada semua jurulatih bagi memastikan skuad masing-masing mampu mara lebih jauh lagi pada musim ini selain mengharapkan Piala MFL kekal menjadi milik TFC II," ujar Mohd Sabri.

Musim lalu, TFC II yang dibimbing Hairuddin dan Subri muncul edisi sulung Piala MFL selepas menumpaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0 hasil jaringan Muhammad Isa Raman, manakala skuad Piala Presiden gagal melangkah lebih jauh selepas terkandas di peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 7:12 PM