KHAIRUL Fahmi (dua dari kanan) gagal menyelamatkan sepakan penalti disempurnakan Everton, yang memastikan PSM Makassar menang 3-1 ke atas Sabah, malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
KHAIRUL Fahmi (dua dari kanan) gagal menyelamatkan sepakan penalti disempurnakan Everton, yang memastikan PSM Makassar menang 3-1 ke atas Sabah, malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Impian Sabah FC untuk menamatkan aksi terakhir Piala AFC bagi Kumpulan H dengan kemenangan musnah apabila dikejutkan PSM Makassar 1-3 di Stadium Likas, malam ini.

Bagi pasukan pelawat, meskipun kemenangan itu tidak membawa mereka ke peringkat seterusnya, ia sudah cukup untuk membalas dendam kekalahan 0-5 ketika perlawanan pertama di Bali, Indonesia pada 5 Oktober lalu.

Sabah mungkin tersilap percaturan atau memandang rendah pemain lawan, lebih-lebih lagi dengan kelebihan bermain di laman sendiri, sehingga gagal melaksanakan misi itu.

Sepanjang 14 minit awal babak pertama, pemain Sabah menguasai perlawanan, namun dikejutkan dengan jaringan pertama PSM Makassar pada minit ke-15.

Jaringan itu disempurnakan Yakub Sayuri hasil serangan balas pantas dan menerusi satu lagi serangan balas pantas pada minit ke-35, PSM Makassar menjadikan kedudukan 2-0.

Ia berikutan bola hantaran lintang cuba Everton Nascimento terkena kaki pertahanan tuan rumah, Dominic Tan yang tertampan bola ke dalam gawang sendiri dan menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Beralih ke babak kedua, Sabah yang tertekan bermain lebih agresif untuk mencari gol dan akhirnya menjaringkan gol tunggal melalui tandukan Telmo Castanheira pada minit ke-72.

Bagaimanapun, Usaha anak buah Datuk Ong Kim Swee menyamakan kedudukan mushah apabila PSM Makassar dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan minit ke-93 yang disempurnakan Everton.

Ia berikutan pengadil memberikan sepakan penalti kepada lawan selepas pertahanan Sabah, Rizal Ghazali menjatuhkan pemain PSM Makassar dalam kotak penalti.

Kekalahan itu tidak mengubah kedudukan Sabah yang sudah menempah tiket ke separuh akhir Piala AFC peringkat Zon Asean hasil empat kemenangan dan dua kekalahan dalam Kumpulan H.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 10:49 PM