MORALES meraikan jaringannya ketika menentang PSM Makassar sebentar tadi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
MORALES meraikan jaringannya ketika menentang PSM Makassar sebentar tadi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sejarah tercipta buat Kuala Lumpur City FC (KL City) apabila menjuarai Zon Asean dalam saingan Piala AFC selepas menewaskan kelab dari Indonesia, PSM Makassar 5-2 dalam aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Kejayaan gemilang itu membolehkan anak didik Bojan Hodak dinobatkan 'Raja Asean' dalam saingan Piala AFC musim ini itu dan akan meneruskan kempen ke pentas separuh akhir Antara Zon untuk bertemu Mohun Bagan dari India selepas ini.

Begitupun, kemungkinan lawan KL City di peringkat itu nanti berubah susulan keputusan Fifa yang menggantung sementara Persekutuan Bolasepak India (AIFF) ekoran campur tangan pihak ketiga, dengan kelab Bangladesh, Bashundhara Kings menanti.

Apapun kemenangan skuad The City Boys itu cukup bersejarah buat kelab itu terutama di peringkat antarabangsa dan berpeluang mengulangi pencapaian Johor Darul Ta'zim (JDT) yang muncul juara Piala AFC selepas menewaskan kelab Tajikistan, FC Istiklol di pentas final pada 2015 lalu.

Tiga rangkaian penyerang import tuan rumah nyata menjadi duri dalam daging buat PSM Makassar yang dibimbing jurulatih dari Portugal Bernardo Tavares.

KL City yang muncul juara Piala Malaysia musim lalu tidak memberi peluang apabila melancarkan serangan demi serangan ke kubu lawan, dan akhirnya meraih gol pertama menerusi sepakan voli Romel Morales selepas menerima tandukan ke belakang Zhafri Yahya di minit 32.

Sebelum berakhir babak pertama, tuan rumah menambah gol kedua menerusi Jordan Mintah hasil serangan balas kilat yang dimulakan Paulo Josue yang menemui Morales, sebelum penjaring pertama itu melorongkan bola cantik kepada Mintah yang mudah menewaskan Reza Pratama buat kali kedua.

Kedudukan KL City bertambah selesa seawal babak kedua apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Zhafri ditolak oleh Rizky Pratama di dalam kotak penalti.

Josue yang mengambil sepakan penalti itu mudah memperdaya Reza Pratama untuk mendahului 3-0 di minit 52.

Bagaimanapun kelebihan selesa itu tidak mematahkan semangat PSM Makassar apabila juara Piala Indonesia musim 2019 itu bangkit merapatkan kedudukan dengan dua gol dalam tempoh lima minit.

Bermula dengan rembatan padu Yakob Sayuri dari luar kotak penalti di minit 58, pelawat meraih gol kedua hasil tandukan Akbar Tanjung di minit 63 untuk menghadirkan cemas buat pemain dan penyokong tuan rumah.

Ketika PSM Makassar ligat menyerang untuk memburu gol penyamaan, Josue sekali lagi meledak gol buat KL City di minit 85, sebelum Hadin Azman melengkapkan kemenangan berjaya tuan rumah dengan menyempurnakan sepakan penalti di masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 11:00 PM