PASUKAN Kuala Lumpur City FC meraikan kemenangan pada perlawanan bolasepak Liga Super Kuala Lumpur City FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium KLFA, Cheras. FOTO Eizairi Shamsudin
PASUKAN Kuala Lumpur City FC meraikan kemenangan pada perlawanan bolasepak Liga Super Kuala Lumpur City FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium KLFA, Cheras. FOTO Eizairi Shamsudin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kemenangan mengatasi Negeri Sembilan FC (NSFC) 1-0 cukup penting sebagai tonik tambahan untuk pemain Kuala Lumpur (KL) sebelum pertemuan menentang PSM Makassar dari Indonesia pada final Piala AFC 2022 Zon Asean 24 Ogos ini.

Pengendali KL City, Bojan Hodak berkata, kemenangan mengatasi NSFC bukanlah perkara mudah apabila mereka dibarisi pemain hebat dan berpengalaman sekali gus sukar untuk 'menjinakkan' pasukan yang berada di tangga ketiga liga itu.

Beliau berkata, kemenangan itu juga membuka mata penyokong skuad The City Boys supaya hadir ke stadium bagi memberi sokongan padu terutama pada pertemuan penting menentang PSM Makassar.

"Saya lihat bukan senang untuk mencatatkan kemenangan mengatasi NSFC kerana mereka memenangi empat perlawanan berturut-turut termasuklah menumbangkan pasukan gergasi.

"Sebab itu, saya katakan perlawanan ini penting untuk meraih kemenangan kerana ia menjadi peniup semangat kepada pemain untuk beraksi cemerlang pada final Piala AFC 2022 Zon Asean.

"Saya mengharapkan penyokong KL City membanjiri stadium pada perlawanan itu dan jangan sampai peminat PSM Makassar pula memenuhi venue kita kelak," katanya.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan Kecemerlangan NSFC dalam empat aksi Liga Super terhenti apabila tewas 1-0 di tangan KL City pada perlawanan yang berlangsung diStadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kekalahan itu menyaksikan rekod empat kemenangan berturut-turut sebelum ini lebur sekali gus gagal menambah tiga mata untuk memberi tekanan kepada dua pasukan teratas liga iaitu Johor Darul Ta'zim dan Sabah FC.

Sebaliknya, skuad The City Boys dilihat kembali menemui sentuhan kemenangan dan kejayaan mara ke pentas final Piala AFC Zon Asean pada 24 Ogos ini nyata membakar semangat Hodak.

Gol tunggal perlawanan diraih tuan rumah pada masa kecederaan babak pertama menerusi ketua pasukan, Paulo Josue yang sudah meledak lima gol setakat ini dalam saingan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 12:44 PM