PEMAIN JDT meraikan kejayaan mempertahankan trofi Piala Malaysia selepas menewaskan TFC 3-1, malam tadi. FOTO BERNAMA
PEMAIN JDT meraikan kejayaan mempertahankan trofi Piala Malaysia selepas menewaskan TFC 3-1, malam tadi. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Lawan beri kesukaran kepada kami terutama pertahanan mereka cukup ampuh."

Itu kata pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari yang mengakui Terengganu FC (TFC) memberi kesukaran buat jentera serangan pasukannya sebelum melakar kemenangan 3-1 di final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Bagaimanapun jelas Solari, beliau gembira dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia dan menganggap ia musim yang cukup indah.

"Kami gembira untuk dapatkan gelaran keempat musim ini. Ia aksi sukar apabila TFC beri tentangan sengit dan mereka menampilkan pertahanan cukup kental," katanya pada sidang media selepas aksi final itu.

Skuad Harimau Selatan membuktikan gelaran 'Raja' bola sepak Malaysia masih milik mereka apabila menumbangkan TFC.

Kejayaan itu membolehkan JDT mempertahankan trofi selain melengkapkan kejuaraan 'quadruple' kali kedua berturut-turut untuk mengesahkan penguasaan mutlak musim ini selepas memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super.

JDT meraih gol pertama menerusi sepakan penalti Bergson da Silva seawal minit keenam sebelum TFC mengikat kedudukan 1-1 hasil sepakan penalti yang disudahkan Ivan Mamut pada minit ke-22.

Anak didik Solari tampil lebih mengancam di separuh masa kedua dengan gol tandukan Feroz (m-73) dan penalti Arif Aiman Hanapi pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 12:28 AM