REAKSI kecewa pemain TFC apabila tewas 1-3 di tangan JDT di final Piala Malaysia, malam ini. FOTO BERNAMA
REAKSI kecewa pemain TFC apabila tewas 1-3 di tangan JDT di final Piala Malaysia, malam ini. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui berpuas hati dengan persembahan anak buahnya di sepanjang perlawanan, biarpun kecewa gagal membawa pulang trofi Piala Malaysia.

Jelas jurulatih Croatia itu, aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu berlangsung sengit dan dia menerima kekalahan 1-3 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dengan hati terbuka.

"Sejujurnya saya bangga dengan pemain apabila mampu bermain dan memberi saingan dengan keputusan 1-1 hingga minit ke-70.

"Tahniah untuk semua pemain dan tahniah untuk JDT. Saya cukup berpuas hati dengan pemain," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Ditanya mengenai padang, Steinbruckner yang lebih mesra dipanggil Tommy mengakui gelanggang itu tidak berada pada tahap terbaik.

"Padang tidak 'perfect' tapi ia adil untuk kedua-dua pasukan. Kami terpaksa bermain dengan menggunakan hantaran jauh ke belakang pemain," katanya.

Dalam aksi itu, tiga gol JDT diraih menerusi sepakan penalti Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi serta tandukan Feroz Baharudin.

Manakala gol TFC pula hasil sepakan penalti Ivan Mamut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 12:10 AM