SOLARI meraikan kejayaan selepas berjaya menewaskan pasukan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 semalam. FOTO Bernama
SOLARI meraikan kejayaan selepas berjaya menewaskan pasukan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 semalam. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Misi 'Double Quadruple' yang diraih Johor Darul Ta'zim (JDT) menerusi trofi terakhir Piala Malaysia musim ini adalah suatu hadiah istimewa buat seluruh rakyat negeri Johor yang sentiasa berada di belakang JDT.

Pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari akui bertuah berada dalam projek JDT apabila dilamar oleh pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada awal musim ini.

Katanya, beliau berterima kasih kepada Tunku Ismail yang memberinya peluang membimbing pasukan sekali gus berjaya memacu JDT menyapu bersih kesemua empat piala domestik dalam tahun pertamanya sebagai jurulatih Harimau Selatan.

"Saya gembira kerana diberikan peluang untuk menjadi jurulatih pasukan ini. Kelab ini sentiasa mahu menambah baik dan mempunyai mentaliti juara serta dilengkapi pelbagai fasiliti yang cukup baik.

"Untuk berada dalam projek JDT setahun lalu adalah satu penghargaan buat saya. Namun tekanan juga ada kerana kelab ini sentiasa mahu menang.

"Kami berjaya menang empat piala hasil dari 41 pemain serta 27 pegawai dan kejayaan ini untuk mereka dan terima kasih TMJ (Tunku Mahkota Johor)," kata Solari yang berasal dari Argentina itu.

Dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, anak buah Solari mudah berjaya menafikan hasrat Terengganu FC (TFC) apabila melakar kemenangan 3-1 di pentas akhir itu.

Gol JDT disumbangkan menerusi dua sepakan penalti oleh Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi serta tandukan Feroz Baharudin, manakala gol TFC pula menerusi penalti Ivan Mamut.

Hasil kemenangan itu, JDT mencipta sejarah unik bola sepak tanah air apabila menyapu bersih kesemua gelaran tempatan selama dua musim berturut-turut dengan menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia untuk melengkapkan misi 'Double Quadruple'.

Ujar Solari lagi, beliau turut memuji keberanian barisan pemainnya yang tetap mempamerkan aksi bertenaga meskipun bermain di atas padang yang kurang sempurna.

Malah, pada suatu ketika beliau terpaksa mengeluarkan dua pemain utama selepas Corbin Ong dan Shane Lowry mengalami kecederaan ekoran keadaan padang yang tidak baik itu.

"Pemain berani bermain permainan kami walaupun padang dalam keadaan kurang baik dan saya bimbang pemain cedera...dengan dua pemain terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.

"Keadaan begini tidak membantu kami tetapi pemain tunjukkan keberanian dan berjaya jaringkan gol untuk muncul juara dan kejuaraan ini adalah hadiah untuk penyokong yang hadir ke sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 1:09 PM