KEADAAN padang yang teruk boleh menjejaskan corak permainan kedua-dua pasukan.
KEADAAN padang yang teruk boleh menjejaskan corak permainan kedua-dua pasukan.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Keadaan padang yang teruk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bukan saja merencatkan corak permainan, malah boleh mendatangkan risiko kecederaan sekali gus membuatkan barisan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC tampil lebih berhati-hati dalam aksi final Piala Malaysia, Jumaat ini.

Kerisauan itu diluahkan pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli yang akui kemungkinan aksi rancak

diharapkan boleh bertukar perlahan dek kerana bimbang terbabit dengan insiden kecederaan serius ekoran permukaan padang tidak rata dan sempurna.

"Saya risau emosi pemain akan terjejas kerana sudah tentu mereka mengharapkan keadaan padang yang rata khususnya pada aksi final.

"Pastinya juga kebimbangan jelas dirasai oleh pemain yang mungkin tidak dapat beri sepenuh tenaga kerana risau dengan risiko kecederaan boleh dihadapi.

"Daripada aspek pasukan pula, saya lihat situasi tersebut boleh menjejaskan kelicinan tempo perlawanan memandangkan keadaan padang seperti yang tular ketika ini tidak begitu baik," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan keadaan padang di SNBJ menimbulkan persoalan sama ada boleh digunakan untuk pentas final Piala Malaysia 2023 atau sebaliknya selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi keadaan terkini padang itu di laman Instagram miliknya Isnin lalu.

Menerusi perkongsian gambar itu, padang SNBJ dilihat tidak sempurna selepas venue berkenaan disewa untuk penganjuran konsert Coldplay pada minggu lalu.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi dilaporkan berkata pihaknya akan melakukan kerja membaik pulih pada kadar segera untuk digunakan bagi final Piala Malaysia.

Untuk rekod, padang baharu SNBJ yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia adalah tajaan daripada Tunku Ismail dengan ia digunakan secara rasmi pada Pestabola Merdeka 2023, Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 5:37 PM