KEADAAN terkini padang SNBJ berdasarkan pemandangan dari atas. FOTO ihsan UTUSAN ONLINE
KEADAAN terkini padang SNBJ berdasarkan pemandangan dari atas. FOTO ihsan UTUSAN ONLINE
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kelihatan tidak ubah seperti seluar jean lusuh yang bertampal-tampal, sekali gus menggambarkan ketidaksempurnaan padang di venue berprestij itu.

Tinjauan Arena Metro di SNBJ mendapati, permukaan padang tidak bersedia lagi untuk 'menyambut' aksi final Piala Malaysia di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) malam esok.

Terdapat dua bahagian yang dilihat bertampal dan tidak rata terutama di bahagian tengah padang dan belakang padang di sebelah kanan dari arah tempat duduk kenamaan.

Situasi itu jelas menghadirkan persoalan adakah benar padang SNBJ sudah bersedia untuk pertembungan epik itu.

Malah dalam sidang media praperlawanan itu, pemain JDT iaitu Jordi Amat mengakui tidak gembira dengan permukaan padang yang boleh merencatkan permainan pasukannya.

Isu kecederaan turut menjadi topik hangat apabila keadaan padang yang tidak sempurna boleh mendatangkan risiko kecederaan buat pemain kedua-dua pasukan.

Arena Metro cuba mengambil gambar terkini padang itu, namun pihak keselamatan SNBJ meminta pihak media agar memadamkannya.

Namun, foto keadaan padang tetap tular di laman sosial hari ini.

Terdahulu, isu padang menjadi perbualan dalam kalangan penyokong bola sepak selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi gambar padang yang rosak angkara konsert kumpulan Coldplay, baru-baru ini.

Semalam, media melaporkan SNBJ sudah 90 peratus bersedia untuk menganjurkan perlawanan akhir Piala Malaysia.

Perkembangan itu disahkan sumber dalaman Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang memaklumkan kerja penyelenggaraan terutama di bahagian padang giat dijalankan sejak kira-kira dua minggu lepas sebagai persediaan menjelang final itu.

Sebelum ini, rumput SNBJ ditukar daripada rumput Cow Grass kepada Zeon Zoysia apabila Tunku Ismail menjadi pencetus dan penaja utama kepada penukaran rumput itu.

Rumput itu digunakan buat pertama kali ketika perlawanan Pestabola Merdeka antara Harimau Malaya dan India, Oktober lalu, yang menyaksikan padang itu mendapat kritikan selepas rosak teruk akibat keadaan rumput yang belum matang.

Ia bertambah baik ketika aksi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ketika Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan D.

Bagaimanapun, keadaan padang itu sekali lagi mengundang kemarahan orang ramai apabila konsert Coldplay baru-baru ini menyebabkan keadaan rumput itu kembali rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 3:47 PM