K Devan. FOTO Ihsan FB NSFC.
K Devan. FOTO Ihsan FB NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan enggan melayani desas desus atau khabar angin dari kalangan penyokong pasukan itu mengenai kemungkinan beliau bakal berhijrah ke Pulau Pinang, musim depan.

Pengendali berpengalaman itu berkata, dakwaan peminat pasukan itu di laman sosial mengenai beliau akan melatih skuad Penang FC pada musim depan adalah tidak benar.

"Saya tak boleh bagi komen apa-apa tentang itu. Saya tidak tahu dari mana mereka mendapat maklumat berkenaan.

"Saya pun hanya baca perkara itu dari laman sosial. Itu tidak benar, tanya mereka yang buat cerita dan khabar angin," kata Devan ketika dihubungi, hari ini.

Baru-baru ini penyokong skuad Hobin Jang Hobin hangat memperkatakan mengenai desas desus kemungkinan Devan tidak lagi melatih Negeri Sembilan sebalik dijangkakan pengendali berpengalaman itu bakal membimbing skuad Harimau Kumbang bagi musim depan.

Khabar angin itu menyatakan ada kemungkinan bekas ketua jurulatih Sri Pahang FC dan Melaka United FC, Datuk Zainal Abidin Hassan bakal mengambil alih dan membimbing Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Devan berkata, beliau masih mempunyai tugas dan tanggungjawab penting terhadap Negeri Sembilan kerana ada tiga lagi baki perlawanan Liga Super musim ini, yang perlu diberikan perhatian serius.

"Saya masih ada komitmen terhadap Negeri Sembilan dan perlu berikan fokus kepada baki perlawanan liga.

"Belum masanya untuk bincang atau tentukan musim depan selagi tugas dengan Negeri Sembilan belum selesai," katanya.

Devan menegaskan skuad bimbingannya memerlukan kemenangan dalam tiga baki perlawanan bermula pertembungan dengan PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 25 November ini.

Katanya, pertembungan itu bukan mudah kerana PDRM dilihat semakin mantap dalam persembahan mereka.

"Saya berharap pemain Negeri Sembilan terus fokus kepada baki tiga perlawanan ini untuk kita dapatkan kemenangan kerana penting bagi pasukan mengutip mata maksimum untuk perbaiki kedudukan dalam carta liga dan berada sekurang- kurangnya tempat kesembilan musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 1:44 PM