IZHAM Tarmzi Roslan. FOTO Sri Pahang FC
IZHAM Tarmzi Roslan. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC mahu menjadikan Negeri Sembilan FC (NSFC) sebagai pencetus kebangkitan skuad itu apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darul Makmur, malam esok selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) 0-2 dan Kuala Lumpur (KL) City FC (1-2).

Justeru, penjaga gol skuad Tok Gajah, Izham Tarmizi Roslan bersama rakan sepasukan akan memastikan Negeri Sembilan pulang dengan tangan kosong.

"Kami perlu bangkit selepas tewas pada dua perlawanan termasuk di tangan KL City di halaman sendiri pada 4 Jun lalu. Mahu atau tidak kami akan memastikan tiga mata menjadi milik Sri Pahang untuk kekal berada pada kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super.

"Pada pusingan kedua liga ini, pencapaian lebih baik diharap dapat dipersembahkan terutama membentuk persefahaman yang lebih baik," katanya.

Ditanya peluang mencatat kemenangan ke atas Negeri Sembilan, Izham Tarmizi mengakui lawannya itu berada pada prestasi terbaik yang memerlukan skuad Tok Gajah lebih berhati-hati.

"Negeri Sembilan juga bukan calang-calang pasukan dan sudah pasti kami perlu memanfaatkan segala peluang yang ada untuk mengutip tiga mata di halaman sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 10:39 PM