PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. -FOTO Sri Pahang FC
PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. -FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mahu anak buahnya lebih tenang pada baki tiga perlawanan Liga Super selepas ini.

Legenda bola sepak Singapura itu, berkata ini kerana ketenangan mampu untuk berfikir dengan baik, selagi gus dapat beraksi pada tahap kemampuan sebenar.

"Apabila bermain dalam keadaan marah, segalanya serba tidak menjadi hingga ada pemain bertindak sendirian seperti yang dipersembahkan ketika tewas 2-3 kepada PDRM FC pada 8 November lalu.

"Banyak kekurangan yang dipersembahkan bukan sahaja daripada segi semangat berpasukan, malah tiada ketenangan menyebabkan Sri Pahang tewas.

"Oleh itu baki tiga perlawanan diharap pemain lebih berdisiplin dan mengurangkan kesilapan mudah yang menyebabkan pasukan hilang mata," katanya.

Selepas 23 perlawanan, Sri Pahang kekal berada di kedudukan keempat dengan 44 mata tetapi Sabah FC yang mengutip 42 mata di kedudukan kelima mampu memintas jika prestasi tidak konsisten dipersembahkan pada baki tiga perlawanan.

Justeru, skuad Tok Gajah perlu menang apabila berdepan Penang FC pada 26 November ini, diikuti Johor Darul Ta'zim (JDT) (3 Disember) dan Kuala Lumpur (KL) City FC (17 Disember).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 1:23 PM