ZAMBRANO (dua kanan) tidak mempedulikan bantahan pemain Argentina. — FOTO Reuters
ZAMBRANO (dua kanan) tidak mempedulikan bantahan pemain Argentina. — FOTO Reuters
AFP

PERSATUAN Bolasepak Argentina (AFA) menuntut jawapan daripada syarikat yang membekalkan VAR pada Copa America supaya menjelaskan mengenai wujud campur tangan pasukan keselamatan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro terhadap aksi separuh akhir, Rabu lalu.

Argentina tewas 0-2 di tangan Brazil pada aksi yang turut ditonton Bolsonaro di Stadium Mineirao, Belo Horizonte dengan pasukan itu dinafikan dua sepakan penalti ketika rakaman perlawanan mengesyorkan ia patut diberikan.

Menambah bengang Argentina pengadil dari Ecuador, Roddy Zambrano enggan menggunakan teknologi VAR untuk menilai semula situasi itu.

“Kami amat bimbang apabila media Brazil dan berita di laman web membincangkan mengenai wujud masalah dan campur tangan dalam sistem komunikasi antara VOR (bilik operasi video) dan pegawai di padang,” kata AFA dalam laman webnya.

EMPAT pegawai perlawanan bersama kapten Argentina, Lionel Messi (kanan). — FOTO Reuters
EMPAT pegawai perlawanan bersama kapten Argentina, Lionel Messi (kanan). — FOTO Reuters

Ia aduan kedua dibuat AFA membabitkan perlawanan separuh akhir itu kepada badan induk bola sepak Amerika Selatan CONMEBOL selepas mendakwa wujud “kesilapan pengadilan yang serius dan menjijikkan” sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, yang ditandatangani Pengarah Pengadilan AFA, Federico Beligoy, campur tangan itu dicetuskan oleh pasukan keselamatan Bolsonaro.

Rabu lalu, laman web Globoesporte.com melaporkan timbul masalah membabitkan VAR sebelum perlawanan separuh akhir apabila mendakwa ‘frekuensi radio digunakan oleh’ pasukan keselamatan Bolsonaro mengganggu saluran komunikasi pengadil dengan pasukan VAR.

Beligoy mendakwa dua insiden itu mencetus kemarahan besar rakyat Argentina dengan ulangan rakaman video mendapati kapten Brazil, Dani Alves mengasari penyerang, Sergio Aguero dan pemain tengah, Arthur turut mengasari pertahanan Nicolas Otamendi kedua-dua di kawasan penalti.

Kedua-dua insiden itu tidak dilihat oleh Zambrano atau pasukan VAR.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 1:46 PM