KHIDMAT Jesus dan Alisson diperlukan kelab masing-masing.
KHIDMAT Jesus dan Alisson diperlukan kelab masing-masing.
Agensi

London: Brazil sedia 'berperang' dengan enam kelab apabila menuntut sembilan bintangnya dibenarkan beraksi pada kelayakan Piala Dunia minggu ini.

Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) kesemuanya bersetuju minggu lalu untuk tidak melepaskan tonggak mereka ke negara senarai merah susulan peraturan kuarantin sepuluh hari.

Brazil menentang Chile, Argentina dan Peru dan FA mereka menggesa kedua-dua kelab Manchester, Chelsea, Liverpool, Leeds dan Everton melepaskan tonggak negara itu untuk misi antarabangsa.

Brazil sedia meminta Fifa campur tangan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi dengan kelab terbabit bakal berdepan hukuman.

Walaupun mencapai persetujuan minggu lalu, pemain Aston Villa, Emi Martinez dan Emi Buendia serta dua pemain Tottenham Cristian Romero dan Giovani Lo Celso terbang ke Argentina kelmarin.

Brazil berkata langkah Spurs dan Villa perlu diikuti kelab lain yang tetap berkeras menolaknya kerana pemain yang kembali ke England perlu dikuarantin dan terlepas sekurang-kurangnya dua aksi Liga Perdana dan perlawanan pertama Liga Juara-Juara.

Pengurus Reds, Jurgen Klopp yang menyekat Mo Salah pulang ke Mesir menegaskan dia tidak mahu kecergasan pemainnya terjejas akibat kuarantin.

Alisson, Fabinho dan Roberto Firmino tersenarai dalam skuad Tite walaupuan Firmino mengalami kecederaan pada aksi liga Ahad lalu.

Manchester City pula mungkin kehilangan Ederson dan Gabriel Jesus untuk aksi menentang Leicester, Southampton dan RB Leipzig.

Pertahanan Chelsea Thiago Silva, pemain tengah Manchester United Fred, penyerang Leeds Raphinha yang bakal tampil kali pertama dan bintang Everton, Richarlison turut mungkin terlepas perlawanan.

Presiden Fifa, Gianni Infantino sudah pun meminta kerajaan Britain campur tangan supaya memberi kelonggaran kuarantin kepada pemain yang pulang semula ke negara itu tetapi kelab enggan menanggung risiko.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 9:10 AM