NAVAS (kanan) jaring gol menarik dari jarak jauh. — FOTO EPA
NAVAS (kanan) jaring gol menarik dari jarak jauh. — FOTO EPA
Reuters

SEPANYOL meraih tangga teratas Kumpulan F dengan bergaya apabila membenam Malta 7-0 di laman sendiri awal pagi tadi bagi kemenangan terbesar mereka pada kempen kelayakan Euro 2020 dengan tujuh pemain berada dalam senarai penjaring.

Sepanyol mengesahkan tempat mereka ke kejohanan tahun depan bulan lalu apabila seri 1-1 dengan Norway dan Sweden namun mereka mencetus suasana berpesta di Cadiz dengan permainan menyerang yang memukau.

Mereka mendahului carta dengan 23 mata selepas sembilan perlawanan, lima mata lebih berbanding pasukan tangga kedua Sweden yang menempah tiket ke Euro 2020 dengan kemenangan 2-0 di Romania.

Alvaro Morata meletakkan Sepanyol dalam laluan kemenangan besar ke atas Malta dengan menjaringkan gol pada pertengahan babak pertama, meledak gol buat tujuh aksi berturut-turut bersama kelab dan negara.

OLMO (kiri) menjaringkan gol kelima Sepanyol di Estadio Ramon de Carranza. — FOTO Reuters
OLMO (kiri) menjaringkan gol kelima Sepanyol di Estadio Ramon de Carranza. — FOTO Reuters

Santi Cazorla mengukuhkan kedudukan sejurus sebelum rehat dengan gol pertamanya buat pasukan kebangsaan dalam tempoh lebih empat tahun, satu saat istimewa buat pemain berusia 34 tahun itu yang pulih daripada kecederaan kaki yang mengancam kariernya.

Anak buah Robert Moreno tampil lebih bergaya pada babak kedua dengan pertahanan Pau Torres melakukan penampilan sulung dengan gol pada minit ke-62 dan Pablo Sarabia turut menyumbat gol buat kali pertama bersama Sepanyol kurang seminit kemudian.

Penyerang Dinamo Zagreb, Dani Olmo kemudian hadir dari bangku simpanan untuk kemunculan sulung bersama Sepanyol dan menjaringkan gol kelima pasukannya, manakala Gerard Moreno menyusul dengan gol pertamanya buat Sepanyol.

Jesus Navas menghasilkan gol paling memukau bagi jaringan ketujuh apabila percubaannya dari luar kotak penalti menerjah jaring.

“Saya meninggalkan tempat ini terlalu berpuas hati kerana keghairahan kami tidak padam. Setiap kali Malta tampil di tengah untuk menyambung permainan kami berasa teruja untuk menambah gol,” kata Moreno.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 10:42 AM