CEO MFL, Stuart Ramalingam. FOTO NSTP
CEO MFL, Stuart Ramalingam. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa setakat ini hanya dua pasukan saja yang mengalami tunggakan gaji dan bukannya tujuh kelab seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, salah satu kelab yang mengalami tunggakan gaji terbabit adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC dan pihaknya sudah berhubung dengan pengurusan pasukan bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata, masalah kewangan sehingga menjejaskan pembayaran gaji pemain dan pegawai berpotensi menggugat perancangan MFL untuk mengekalkan jumlah pasukan bertanding dalam saingan Liga Super musim depan.

Malah katanya, MFL akan melakukan apa sahaja termasuk jika terpaksa mengurangkan jumlah pasukan bertanding demi menjaga imej liga.

"Baru-baru ini, kami pemilik kelab Kedah Tan Sri Daud Bakar menjelaskan apa yang berlaku dan saya berterima kasih kerana tidak lari daripada tanggungjawab. Beliau membuktikan sebagai pemilik yang bertanggungjawab.

"Kedah bukanlah kerap mengalami tunggakan gaji. Jadinya. kami memberi mereka ruang untuk menyelesaikannya.

"Saingan liga musim ini sepatutnya mempunyai 16 pasukan, penyingkiran Melaka United dan Sarawak United FC adalah disebabkan masalah dalaman mereka.

"Jadi jika timbul isu, kami (MFL) perlu mengurangkan kepada 13 pasukan (musim depan), jika ia harus berlaku, maka ia harus berlaku," katanya.

Mengikut rekod, selepas hampir dua musim Liga Malaysia (Liga M) melalui penswastaan, masalah tunggakan gaji belum dapat 'dicuci' sepenuhnya apabila beberapa kelab bertaraf gergasi turut mengalami masalah tunggakan pemain mereka.

Difahamkan, ketika ini antara pasukan yang dipalit isu gaji adalah membabitkan KDA FC, Sabah FC, Kelantan FC, Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 2:22 PM