PENJAGA gol Argentina, Emiliano Martinez (dua dari kiri) dicemuh pada majlis Ballon d’Or. FOTO X Ballon d’Or
PENJAGA gol Argentina, Emiliano Martinez (dua dari kiri) dicemuh pada majlis Ballon d’Or. FOTO X Ballon d’Or
Agensi

Paris: Kejayaan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez memenangi Trofi Yashin di Ballon d'Or 2023 mendapat sambutan dingin peminat yang hadir pada majlis berprestij di Paris itu.

Martinez yang membantu negaranya muncul juara Piala Dunia di Qatar tahun lalu itu dicemuh ketika berjalan ke atas pentas untuk menerima anugerah berkenaan di Theatre du Chatelet, Paris.

Didier Drogba, yang mengacara majlis anugerah berkenaan, terpaksa mengarahkan peminat untuk menghentikan perbuatan mereka.

Tindakan segelintir peminat itu mungkin disebabkan rasa kecewa peminat di Perancis yang masih tidak dapat menerima kekalahan di final Piala Dunia di mana Martinez berjaya menghalang beberapa percubaan pemain The Blues.

Bagaimanapun, Martinez tenang dan tidak mengendahkan cemuhan itu sambil mengakui gembira diumumkan sebagai pemenang anugerah trofi itu.

"Saya amat gembira dapat memenangi trofi ini. Tanpa rakan sepasukan di Aston Villa dan Argentina, ia tidak akan berlaku.

"Saya teruja dan akan berusaha lebih gigih lagi dalam karier saya selepas," kata Martinez.

Kejayaannya itu mengikut jejak beberapa penjaga gol tersohor lain yang pernah memenangi trofi berkenaan antaranya pemenang musim lalu dari Real Madrid, Thibaut Courtois; Gianluigi Donnarumma dan Alisson Becker.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 1:43 PM