Legenda Itali Fabio Cannavaro (kiri) menyampaikan Trofi Kopa kepada Pedri. FOTO EPA
Legenda Itali Fabio Cannavaro (kiri) menyampaikan Trofi Kopa kepada Pedri. FOTO EPA
AFP

Paris: Bintang muda Sepanyol, Pedri memenangi Trofi Kopa untuk pemain terbaik bawah 21 tahun pada majlis Anugerah Ballon d'Or manakala Gianluigi Donnarumma dari Itali merangkul gelaran penjaga gol terbaik.

Pedri yang juga pemain tengah Barca dan mencecah usia 19 tahun Khamis lalu, adalah tonggak dalam kejayaan Sepanyol mara ke separuh akhir Kejuaraan Eropah dan final Olimpik di mana mereka tewas kepada Brazil di Tokyo.

Pedri turut beraksi dalam 52 perlawanan untuk Barcelona, membantu mereka memenangi Piala Raja Sepanyol.

Dia yang menyertai Barca dari Las Palmas tahun lalu, baru saja melanjutkan kontrak di Camp Nou sehingga tahun 2026.

Trofi Kopa dinamakan sempena Raymond Kopa, bintang Real Madrid dan Perancis yang memenangi Ballon d'Or pada tahun 1958.

Penyerang Perancis, Kylian Mbappe adalah pemenang sulung trofi berkenaan pada tahun 2018, dan pemain Juventus Matthijs de Ligt dari Belanda memenanginya pada 2019.

Penjaga gol Paris Saint-Germain, Gianluigi Donnarumma dari Itali dinobatkan penjaga gol terbaik di majlis Anugerah Ballon d'Or. FOTO AFP
Penjaga gol Paris Saint-Germain, Gianluigi Donnarumma dari Itali dinobatkan penjaga gol terbaik di majlis Anugerah Ballon d'Or. FOTO AFP

Donnarumma mengungguli Trofi Yashin sebagai penjaga gol terbaik selepas persembahan cemerlangnya ketika membantu Itali menjuarai Euro 2020.

Pemain berusia 22 tahun itu meninggalkan AC Milan untuk menyertai Paris Saint-Germain.

Bintang Liverpool, Alisson dari Brazil adalah pemenang pertama anugerah berkenaan pada tahun 2019, yang dinamakan sempena ikon Rusia, Lev Yashin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 9:16 AM