AFP

Paris: Karim Benzema berkata, cita-citanya semakin tinggi seiring dengan peningkatan usia selepas penyerang Real Madrid dan Perancis itu memenangi anugerah Ballon d'Or, semalam, dan mendedikasikan trofi itu kepada semua orang.

Benzema yang akan berusia 35 tahun pada Disember iaitu sehari selepas berakhirnya Piala Dunia, lima bulan lebih tua berbanding Lionel Messi apabila bintang Argentina itu memenangi anugerah individu berprestij dalam bola sepak itu buat kali ketujuh, tahun lalu.

Malah, dia adalah penerima anugerah tertua sejak pemain England, Stanley Matthews memenangi Ballon d'Or sulung pada 1956.

"Memang trofi selalunya berada dalam fikiran saya, tetapi apa yang berubah sejak saya berusia 30 tahun adalah cita-cita," kata Benzema selepas menerima trofi itu di Chatelet Theatre di Paris.

Benzema berusia 21 tahun ketika menyertai Real Madrid dari Lyon pada 2009.

Dia kemudian mencipta nama di ibu negara Sepanyol itu selepas pemergian Cristiano Ronaldo pada 2018 dan ketika itu, Benzema berusia 30 tahun.

"Cita-cita menjadi keutamaan dan berada dalam fikiran saya ketika itu.

"Cita-cita bermaksud bekerja lebih keras dan menjadi pemimpin dalam pasukan dan saya bernasib baik bermain untuk Madrid iaitu kelab terbaik di dunia.

"Ketika berusia 21 atau 22 tahun, saya tidak memiliki cita-cita sama seperti sekarang."

Benzema diberi pengiktirafan selepas menjaringkan 44 gol dalam 46 perlawanan tahun lalu pada ketika Madrid memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan La Liga.

Kemenangan sebagai pemain terbaik dunia itu menyaksikan Benzema mengatasi Robert Lewandowski, Sadio Mane dan Kevin De Bruyne.

Dia adalah pemain Perancis pertama menang trofi itu sejak Zinedine Zidane pada 1998 dan pemain kelima negara itu selepas Raymond Kopa, Michel Platini dan Jean-Pierre Papin.

BENZEMA menerima trofi Ballon d'Or di Theatre du Chatelet, Paris. FOTO AFP
BENZEMA menerima trofi Ballon d'Or di Theatre du Chatelet, Paris. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 8:02 AM