MESSI menyinar bersama PSG.
MESSI menyinar bersama PSG.
Agensi

London: Lionel Messi memiliki banyak trofi dan anugerah sepanjang kariernya tetapi kini dia sedia melepaskan sebahagian daripadanya.

Messi dianggap pemain terhebat sepanjang zaman dan senarai deretan kejayaan membuktikan dia memang layak mendapat pengiktirafan itu.

Sepanjang 17 tahun di Barcelona, Messi menjuarai 10 gelaran La Liga, tujuh Piala Raja Sepanyol dan empat Liga Juara-Juara manakala di Paris Saint-Germain, dia tampak semakin hampir memenangi Ligue 1 untuk kali kedua.

Di peringkat antarabangsa dia membantu Argentina menamatkan kemarau trofi, mengetuai mereka menjuarai Copa America pada 2021 sebelum menjulang Piala Dunia pada Disember.

Bukan itu sahaja, dia turut berjaya di peringkat individu. Pemain berusia 35 tahun itu dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan Argentina 15 kali, enam Kasut Emas Eropah dan rekod tujuh Ballon d'Or.

Dengan terlalu banyak trofi di kabinetnya, Messi mungkin bermasalah meletakkan trofi Ballon d'Or kelapan, jika dia memenanginya tahun ini dan itu antara sebab Messi mendermakan sebahagian hadiahnya dengan satu daripadanya diberikan kepada rakan sepasukan di PSG dan Argentina, Leandro Paredes.

Pemain tengah itu yang kini dipinjamkan ke Juventus, baru-baru ini mempelawa wartawan ke rumahnya di Turin dan mengejutkan apabila Paredes menunjukkan Anugerah Pemain Terbaik La Liga 2020-21 milik Messi di dalam kabinetnya.

Ketika ditanya bagaimana trofi itu boleh berada dalam simpanannya, Parades berkata: "Dia [Messi] tiba di Paris, saya tanya jika dia tak kisah memberikannya kepada saya dan dia tidak teragak-agak menghadiahkannya kepada saya."

Bagi kebanyakan pemain, anugerah seperti itu sudah pasti disimpan dan dijaga rapi tetapi apabila anda pemain terbaik dunia, nilai hadiah itu mungkin biasa-biasa sahaja apatah lagi sudah memenangi banyak trofi.

Beberapa peminat di Twitter sukar mempercayainya.

"Bro, berilah saya trofi itu sekarang," kata seorang peminat Messi manakala yang lain memberikan komen, "dia tidak kisah anugerah peribadi."

Seorang lagi peminat berkata: "Bayangkan memenangi banyak trofi dan anugerah sehingga terpaksa memberikannya kepada orang lain. Messi memang 'gila'."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 1:24 PM