MESSI ketika menjulang trofi Copa America. FOTO AFP
MESSI ketika menjulang trofi Copa America. FOTO AFP
AFP

Buenos Aires: Lionel Messi dipanggil menyertai skuad kebangsaan Argentina untuk bertemu rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dan Brazil pada kempen kelayakan Piala Dunia bulan depan.

Perlawanan pada 5 September ini akan menjadi pertembungan kali pertama kedua-dua ikon itu sebagai rakan sepasukan di PSG dan kurang dua bulan selepas Messi membantu Argentina meraih kemenangan 1-0 ke atas Brazil pada final Copa America.

Selain Brazil, Argentina juga akan bertemu Venezuela pada 2 September dan Bolivia seminggu selepas itu.

Brazil mendahului kumpulan kelayakan CONMEBOL dengan meraih 18 mata daripada enam perlawanan manakala Argentina menduduki tempat kedua dengan 12 mata dan masih belum tewas.

Messi memenangi trofi antarabangsa pertamanya Julai lalu ketika membantu Argentina menamatkan penantian selama 27 tahun untuk memenangi gelaran utama dengan menewaskan Brazil di Stadium Maracana dekat Rio de Janeiro.

Messi dan Neymar masih belum dapat beraksi bersama-sama musim ini selepas mereka diberikan tempoh rehat lebih lama oleh PSG selepas beraksi di Copa America.

Selepas lebih dua dekad beraksi di Barcelona, Messi dijangka akan melakukan penampilan pertama bersama PSG minggu ini bertemu Reims di tempat lawan.

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni tidak melakukan kejutan dalam skuadnya dengan pemain Inter Milan, Lautaro Martinez dan bintang Juventus, Paulo Dybala turut tersenai namun pemain yang baru menyertai Barcelona, Sergio Aguero diketepikan kerana kecederaan.

Dua lagi pemain PSG, Angel Di Maria yang menjaringkan gol kemenangan pada final Copa America dan Leandro Paredes turut berada di dalam skuad.

Pertahanan PSG, Marquinhos akan menyertai Neymar bersama skuad Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 8:21 AM