PENGADIL perlawanan ditumbuk pada aksi membabitkan Rang Hill FC dan Tembeling United FC. FOTO AGENSI
PENGADIL perlawanan ditumbuk pada aksi membabitkan Rang Hill FC dan Tembeling United FC. FOTO AGENSI
Asrol Awang


Kuantan: Aksi suku akhir Piala FA Jerantut semalam, membabitkan Rang Hill FC dan Tembeling United FC dicemari insiden kekecohan apabila seorang pengadil ditumbuk pada perlawanan itu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas seorang lelaki daripada sebuah pasukan tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan sehingga bertindak sedemikian.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 42 saat itu menyaksikan seorang lelaki memasuki kawasan padang sebelum bertindak menumbuk pengadil perlawanan.

Selepas melakukannya, lelaki terbabit yang seakan masih tidak berpuas hati bertindak mengejar pengadil berkenaan.

Kejadian itu berlaku sebaik pengadil meniup wisel berakhirnya perlawanan suku akhir itu.

Pada perlawanan itu, Rang Hill menewaskan Tembeling United 1-0 sekali gus layak ke separuh akhir Piala FA Jerantut.

Perlawanan anjuran Persatuan Bolasepak Daerah Jerantut itu diadakan di Padang FA Jerantut, Jerantut.

Difahamkan, aksi Piala FA dan Liga Emas Jerantut itu membabitkan 22 pasukan yang bermula pada September lalu dan dijangka berakhir pada pertengahan November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 8:49 PM