GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Empat sungai di Pahang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras amaran iaitu dua di Jerantut dan masing-masing satu di Maran dan Kuantan, 10.30 pagi, hari ini.

Menerusi laman Web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai terbabit ialah Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Kampung Merting, Jerantut.

Dua lagi sungai yang turut melepasi paras amaran ialah Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan.

Selain itu, enam sungai merekodkan bacaan waspada iaitu di Sungai Yap dan Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut.

Turut melepasi paras waspada ialah Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Jempol di Rancangan FELDA Jengka, Maran; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan, dan Sungai Keratong, Jalan Kota Bahagia, Rompin.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang memaklumkan setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

"Situasi di Pahang masih terkawal dan pemantauan dilakukan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 12:22 PM