Anggota pasukan perubatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang memeriksa mangsa,  Mohamad Fadzil Mokhtar di Dewan Jerantut Badminton Centre sebelum dibawa ke Hospital Jerantut, Jerantut untuk dibedahsiasat petang semalam. FOTO Ihsan APM
Anggota pasukan perubatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang memeriksa mangsa, Mohamad Fadzil Mokhtar di Dewan Jerantut Badminton Centre sebelum dibawa ke Hospital Jerantut, Jerantut untuk dibedahsiasat petang semalam. FOTO Ihsan APM
Roselan Ab Malek


Jerantut: Seorang lelaki tidak sempat menghabiskan perlawanan suku akhir kejohanan badminton disertainya selepas rebah dan meninggal dunia akibat serangan jantung di Dewan Jerantut Badminton Centre, Batu 5/8, Jalan Jerantut Feri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Mohamad Fadzil Mokhtar, 34, terpaksa menghentikan permainan selepas mengadu tidak sihat dan sakit dada.

Timbalan Ketua Polis Jerantut, Deputi Superintendan Azman Mat Kamis berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4 petang mengenai kejadian seorang lelaki meninggal dunia di Dewan Badminton Jerantut.

"Maklumat yang kita peroleh, mangsa tidak sempat menghabiskan perlawanan peringkat suku akhir disertainya apabila secara tiba-tiba sakit dada dan berasa tidak sihat.

"Dia berhenti bermain serta duduk berehat di tepi gelanggang sebelum tiba-tiba rebah kemudiannya meninggal dunia," katanya.

Azman berkata, mangsa dibawa ke Hospital Jerantut pada jam 4.50 petang dan ujian saringan Covid-19 pada 6.30 petang dan didapati negatif sebelum dibedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Proses bedah siasat selesai pada jam 8.30 malam dan punca kematiannya disebabkan serangan jantung (Myocardial Infarction).

"Pemeriksaan fizikal ke atas si mati didapati tiada menunjukkan sebarang kecederaan sama ada unsur perbuatan khianat atau jenayah," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 2:53 PM