MESSI dijangka memenangi anugerah buat kali kelapan. FOTO AFP
MESSI dijangka memenangi anugerah buat kali kelapan. FOTO AFP
Agensi

London: Senarai pemenang Ballon d'Or 2023 diketahui lebih awal selepas ia 'bocor' menjelang majlis anugerah berprestij itu hujung bulan ini.

Edisi Ballon d'Or ke-67 bakal berlangsung pada 30 Oktober di Chatelet Theater di Paris, Perancis dan pemenang lelaki serta wanitanya sudah pun diketahui, menurut laporan semalam.

Lionel Messi dijangka memenangi anugerah buat kali kelapan dan pemenang Piala Dunia itu bakal menjadi pemain pertama beraksi di luar Eropah yang menjulang Ballon d'Or.

Anugerah kelapan untuk bintang berusia 36 tahun itu membolehkan Messi terus mencipta sejarah sebagai pemain paling berjaya dalam sejarah Ballon d'Or.

Dia memenanginya pada 2009, 2010, 2011, 2012, 2015, 2019 serta 2021 dan bakal merampas gelaran daripada pemenang tahun lalu Karim Benzema.

Messi mengatasi saingan Erling Haaland yang membantu Manchester City menjuarai treble musim lalu dan menjadi tonggak kejayaan Argentina menjulang Piala Dunia di Qatar.

Bintang bola sepak Barcelona Aitana Bonmati pula dijangka memenangi anugerah Ballon d'Or untuk wanita, menurut media Sepanyol SPORT.

Dia akan menggantikan pemenang dua kali Alexia Putellas, yang memenanginya pada 2021 dan 2022.

Seperti Messi, pemain berusia 29 tahun itu membantu negaranya menjuarai Piala Dunia dengan menewaskan England 1-0 pada Ogos selain menjadi tonggak kejayaan Barca menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 6:52 PM