LIONEL Messi. FOTO X Ballon d’Or
LIONEL Messi. FOTO X Ballon d’Or
Agensi

Paris: Lionel Messi sedia menyerahkan anugerah Ballon d'Or buat generasi baharu yang bakal menghangatkan pentas bola sepak antarabangsa selain meneruskan legasi sukan paling popular di dunia itu.

Jelas bintang Argentina itu, bermula tahun depan ia akan menjadi rebutan antara bintang-bintang baharu bola sepak.

"Tahun-tahun akan datang ia akan menjadi saingan sengit antara (Erling) Haaland, (Kylian) Mbappe dan Vinicius Junior.

"Ramai pemain-pemain muda yang akan bersaing merebut Ballon d'Or. Saya juga merasakan Lamine Yamal, yang masih muda tetapi sudah beraksi cemerlang bersama Barcelona dan menjadi pemain penting," kata Messi.

Sepanjang 15 tahun lalu, Messi dan seorang lagi bintang Portugal, Cristiano Ronaldo silih berganti merebut dan memenangi anugerah Ballon d'Or.

Ronaldo, 38, yang kini bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr, memenangi anugerah pemain terbaik itu sebanyak lima kali, manakala kemenangan Messi di Paris kelmarin adalah yang kelapan dalam kariernya.

Pada musim lalu, Messi, 36, melalui detik paling manis apabila membantu Argentina menjulang Piala Dunia di Qatar, sekali gus membolehkannya memenangi Ballon d'Or dan merampas daripada pemenang musim lalu Karim Benzema.

Pemain Inter Miami itu mengatasi pencabar terdekat yang juga penyerang Manchester City, Erling Haaland dan ayam tambatan Perancis, Kylian Mbappe sementara Kevin De Bruyne di tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 9:19 AM