PENYERANG Bayern Munich, Robert Lewandowski. FOTO AFP
PENYERANG Bayern Munich, Robert Lewandowski. FOTO AFP
AFP

Lausanne: Robert Lewandowski dijangka sekali lagi berpeluang mengekalkan anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA selepas turut berada dalam senarai pendek 11 pemain bersama Karim Benzema dan Jorginho.

Calon pilihan seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo juga tersenarai dengan Neymar, Mohamed Salah dan Kylian Mbappe turut mempunyai berpeluang sama meraih anugerah yang diperkenalkan sejak 2017 itu.

Erling Haaland, N'Golo Kante dan Kevin De Bruyne melengkapkan senarai pemain berpotensi memenanginya.

Empat pemain Barcelona menyertai senarai bagi pemain terbaik wanita - Alexia Putellas, Jennifer Hermoso, Aitana Bonmati dan Caroline Graham Hansen.

Chelsea yang tewas kepada Barcelona pada aksi final Liga Juara-Juara Wanita musim lalu, juga mempunyai empat wakil iaitu Sam Kerr, Ji So-yun, Magdalena Eriksson dan Pernille Harder.

Lucy Bronze yang memenanginya tahun lalu, tercalon bersama rakan sepasukan England, Ellen White.

Pemenang pingat emas Olimpik dari Kanada, Christine Sinclair juga bersaing sama seperti Stina Blackstenius dari Sweden.

Thomas Tuchel mendahului calon sebagai jurulatih lelaki terbaik selepas mengetuai Chelsea meraih gelaran Liga Juara-Juara dan akan berdepan cabaran Roberto Mancini yang membimbing Itali memenangi Euro 2020.

Calon lain termasuk Hansi Flick, Pep Guardiola, Antonio Conte, Diego Simeone dan bos Argentina, Lionel Scaloni.

Pemenang dipilih oleh kapten dan jurulatih semua pasukan kebangsaan seluruh dunia selain undian dalam talian oleh peminat dan wartawan terpilih. Undian bermula dari 22 November hingga 10 Disember ini.

Tiga nama finalis setiap kategori akan didedahkan awal Januari depan dengan majlis akan diadakan secara maya dari ibu pejabat FIFA di Zurich pada 17 Januari.

Majlis Ballon d'Or pula akan berlangsung secara berasingan di Paris pada 29 November.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 7:47 AM