PEMAIN Sepanyol, Aitana Bonmati dinobat pemenang Ballon d'Or Wanita 2023. FOTO Reuters
PEMAIN Sepanyol, Aitana Bonmati dinobat pemenang Ballon d'Or Wanita 2023. FOTO Reuters
AFP

Paris: Kejayaan memenangi Piala Dunia Wanita, menjuarai Liga Juara-Juara, mengungguli anugerah Pemain Terbaik UEFA dan terbaharu dinobatkan pemenang Ballon d'Or Wanita nyata membawa kepuasan buat pemain wanita kebangsaan Sepanyol, Aitana Bonmati.

Jelas Bonmati, musim 2023 adalah tahun terbaik dengan dia mengecapi pelbagai kejayaan dalam tempoh semusim yang dianggap amat luar biasa.

"Sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Ia satu perjalanan karier saya yang cukup mengagumkan sepanjang tahun lalu dan tahun ini.

"Semasa saya kecil, saya tidak pernah mengimpikan suatu hari nanti saya akan bermain di Nou Camp, memenangi Piala Dunia, memenangi ACL, Ballon d'Or dan anugerah pemain wanita terbaik Eropah. Ia umpama kisah dongeng yang jadi kenyataan," katanya yang beraksi untuk kelab Barcelona.

Piala Dunia Wanita yang diadakan di Australia dan New Zealand Ogos lalu, menyaksikan Sepanyol gah muncul juara selepas menumbangkan England 1-0 di pentas akhir.

Bonmati, 25, bukan saja membantu negaranya menjuarai Piala Dunia malah dia turut dinobatkan sebagai pemain terbaik di saingan itu.

Dia mengatasi pemain wanita Australia, Sam Kerr dan rakan senegaranya dari Sepanyol, Salma Paralluelo yang berpuas hati di tempat kedua dan ketiga Ballon d'Or kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 8:43 AM