GAVI ledak gol buat Sepanyol menewaskan Norway dalam aksi kelayakan Euro 2024 Kumpulan A. -FOTO AFP
GAVI ledak gol buat Sepanyol menewaskan Norway dalam aksi kelayakan Euro 2024 Kumpulan A. -FOTO AFP
Reuters

Madrid: Sepanyol menunjukkan perkembangan "luar biasa" dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kata jurulatih Luis de la Fuente selepas mereka melakar kemenangan 1-0 ke atas Norway seterusnya mengesahkan kelayakan ke Euro 2024 di Jerman.

Selepas tersingkir di pusingan 16 Piala Dunia di Qatar yang mengakibatkan Luis Enrique dipecat, Sepanyol tewas 0-2 kepada Scotland pada Mac, membawa kepada persoalan mengenai masa depan De la Fuente walaupun ia hanya perlawanan kedua beliau sebagai pengurus.

Bagaimanapun, sejak kekalahan itu Sepanyol sudahpun memenangi empat perlawanan kelayakan berturut-turut, menjaringkan 16 gol dan mengekalkan rekod bersih dalam tiga perlawanan terakhir mereka. Mereka juga memenangi Liga Negara-negara pada bulan Jun.

"Saya gembira kerana saya fikir pasukan berkembang dengan cara yang luar biasa. Pasukan bersatu, pasukan yang padu, pasukan untuk masa depan itu paling menggembirakan kami," kata De la Fuente.

"Pembelajaran sentiasa berterusan. Anda belajar banyak daripada situasi yang tidak begitu baik dan dari situasi yang baik juga.

"Tetapi kami pasti, kami tidak terlalu jauh daripada skrip. Maksud saya, kami membetulkan perkara yang perlu diubah dan kami memahami perkara yang perlu diubah."

Pemain pertahanan Dani Carvajal berkata ia "tidak pernah mudah" untuk layak ke Euro, sambil menambah: "Terutama kali ini, selepas kekalahan di Scotland itu, kerana kami juga mempunyai jurulatih baru dan tiba-tiba ramai orang dari luar mula meragui kami.

"Tetapi kami berjaya pulih daripada itu dan kini semakin meningkatkan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 7:24 PM