PEMAIN Sepanyol mengangkat gawang gol pada sesi latihan menjelang perlawanan dengan Cyprus. FOTO AFP
PEMAIN Sepanyol mengangkat gawang gol pada sesi latihan menjelang perlawanan dengan Cyprus. FOTO AFP
Reuters

Granada: Pengurus skuad bola sepak lelaki Sepanyol, Luis de la Fuente berkata, dia dan pasukannya fokus kepada sukan itu ketika dihujani soalan mengenai peletakan jawatan Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales.

De la Fuente dilihat tidak selesa dan cuba mengelak daripada bercakap mengenai bekas bosnya itu selepas tiga minggu insiden dakwaan Rubiales mencium bibir kapten skuad wanita Sepanyol, Jenni Hermoso ketika mereka meraikan kejayaan menjulang Piala Dunia Wanita di Australia, bulan lalu.

Menjelang perlawanan kelayakan Euro 2024 menentang Cyprus, de la Fuente menolak pandangan insiden dicetuskan Rubiales di Sydney mengganggu pemainnya, sebaliknya menyatakan mereka tetap fokus seperti dilakukan ketika menang 7-1 di Georgia, Jumaat lalu.

Sepanyol kini menduduki tangga kedua Kumpulan A apabila ketinggalan sembilan mata di belakang Scotland, tetapi memiliki kelebihan dua perlawanan.

"Di sini, kami hanya fikir mengenai bola sepak dan kami hidup dalam gelembung yang diasingkan. Saya fikir, kami perlu fokus kepada bola sepak dan apa yang boleh kami lakukan sebagai profesional," kata De la Fuente pada sidang media.

"Saya hormat sepenuhnya terhadap keputusan dibuat Mr Rubiales. Orang akan membuat keputusan apabila mereka merasakan perlu berbuat demikian."

Bulan lalu, de la Fuente dikecam apabila menyokong keputusan Rubiales yang enggan meletak jawatan.

Selepas enam daripada tujuh soalan awal wartawan mengenai Rubiales dan skandal itu, De la Fuente dilihat tidak selesa apabila ditanya sama ada dia merasakan perlu menghantar pesanan kepada bekas presiden itu yang melantiknya sebagai pengurus pasukan pada Disember lalu.

"Saya bekerja dengan RFEF selama 11 tahun. Saya sudah lama berada di sini sebelum Luis Rubiales datang," kata De la Fuente.

"Saya adalah jurulatih bola sepak. Tiada orang menghadiahkan saya apa-apa, saya yang berusaha mendapatkannya. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua orang yang menolong sepanjang hidup saya. Saya belum bercakap dengannya lagi."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 11:09 AM