AFIQ Fazail disenaraikan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya untuk menentang Taiwan, malam ini. FOTO FB FAM
AFIQ Fazail disenaraikan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya untuk menentang Taiwan, malam ini. FOTO FB FAM
Zulfaizan Mansor


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon melakukan empat perubahan dalam kesebelasan utama untuk berdepan Taiwan, malam ini, berbanding ketika menentang Kyrgyzstan, Khamis lalu.

Perubahan itu menyaksikan perancang tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Afiq Fazail diletakkan dalam kesebelasan utama bagi aksi yang akan berlangsung di Stadium Perbandaran Taiwan.

Paulo Josue yang dimasukkan pada babak kedua ketika berdepan Kyrgyzstan tersenarai dalam skuad utama dengan Brendan Gan diletakkan di bangku simpanan.

Pan-gon turut melakukan perubahan di bahagian serangan dengan menggunakan Akhyar Rashid dalam kesebelasan utama manakala Darren Lok berada dalam senarai pemain simpanan.

Satu lagi perubahan adalah pengendali dari Korea Selatan itu menyenaraikan Junior Eldstal dalam skuad utama dengan Shahrul Saad diletakkan di bangku simpanan sementara Dominic Tan yang dilaporkan cedera, tiada dalam skuad kali ini.

Sementara itu, Dion Cools diberikan peranan sebagai ketua pasukan selepas lilitan kapten ketika menentang Kyrgyzstan dipakai Matthew Davies.

SENARAI KESEBELASAN HARIMAU MALAYA:

Syihan Hazmi Mohamed (PG), Matthew Davies, Faisal Halim, Stuart Wilkin, Arif Aiman Hanapi, Junior Eldstal, Paulo Josue, Akhyar Rashid, Afiq Fazail, Dion Cools dan La'vere Corbin Ong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 6:53 PM