DARREN (jersi no 9) bersorak selepas menjaringkan gol ketika Malaysia menewaskan Taiwan 1-0, malam ini. FOTO FB FAM
DARREN (jersi no 9) bersorak selepas menjaringkan gol ketika Malaysia menewaskan Taiwan 1-0, malam ini. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Misi mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 buat pertama kalinya makin terbentang luas buat skuad Harimau Malaya selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan Taiwan 1-0 di Stadium Perbandaran Taipei, malam ini.

Kejayaan menggenggam tiga mata itu membolehkan anak didik Kim Pan-gon mengumpul enam mata dalam Kumpulan D, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk cuba mengakhiri saingan di dua tempat teratas kumpulan itu.

Terima kasih kepada penyerang gantian, Darren Lok apabila gol tunggal penyerang Sabah FC itu sudah cukup menghadiahkan kemenangan buat kem negara.

Taktikal menyerang jelas menjadi pilihan Pan-gon apabila membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama dengan menyenaraikan Paulo Josue dan Akhyar Rashid di bahagian serangan untuk membentuk gandingan mantap bersama Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.

Afiq Fazail yang kali terakhir merasai bahang aksi antarabangsa pada 2019 berpeluang menambah kaps kelimanya bersama skuad Harimau Malaya selepas diberi kepercayaan untuk mengukuhkan posisi tengah bersama Stuart Wilkin.

Manakala kecederaan dialami Dominic Tan ketika pasukan negara menumbangkan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi pertama kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis lalu diisi Junior Eldstal di benteng pertahanan bersama Dion Cools, Matthew Davies dan Corbin Ong.

Malaysia yang kali terakhir menang ke atas skuad Blue Wings pada 2011 sebelum tumbang dua kali selepas itu nyata menguasai penuh 45 minit babak pertama dengan deretan peluang termasuk percubaan Cools pada minit ke-25 melambung tinggi.

Peluang paling hampir hadir pada minit ke-39 menerusi rembatan padu Wilkin dari luar kotak penalti, namun ia ditepis Pan Wen Chieh buat melegakan Gary White yang juga pengendali pasukan tuan rumah itu.

Tiga minit sebelum berakhir babak pertama menyaksikan tiang menjadi penghalang apabila bola sungkitan Faisal terkena tiang dan tersasar dari gawang biarpun pintu gol sudah ternganga luas.

Taiwan yang turut memburu tiga mata selepas tumbang 0-3 di tangan Oman pada aksi pertama terus menggunakan taktikal bertahan dan percubaan Akhyar di awal babak kedua tidak tepat.

Pan-gon membawa masuk Darren dan Endrick dos Santos bagi menambah sengat dan percaturan itu membuahkan hasil apabila Darreen membuka tirai jaringan di minit ke-72 selepas berlaku situasi kelam kabut di dalam kotak penalti.

Biarpun ada usaha untuk menambah gol dalam baki minit permainan, namun kelebihan tipis itu sudah cukup buat Malaysia untuk keluar selaku pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 8:57 PM