GAYA Aiman selepas merobek gawang JDT. FOTO Johor Southern Tigers
GAYA Aiman selepas merobek gawang JDT. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pemain sayap kanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi bersyukur selepas dua gol dihasilkannya memastikan kemenangan 4-2 menewaskan kelab dari Thailand, BG Pathum United pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pathum Thani, Bangkok, malam semalam.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) musim 2021 dan 2022 itu menjadi watak penting buat skuad bimbingan Esteban Solari bagi melakar kemenangan pertama dalam saingan ACL selepas tewas 0-1 kepada kelab dari Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, 19 September lalu.

Arif Aiman gembira apabila usaha untuk memastikan JDT membawa pulang tiga mata membuahkan hasil dan menganggap kemenangan itu kerja keras rakan sepasukan.

"Pertama sekali, Alhamdulilah amat bersyukur dengan kemenangan ini kerana amat penting buat saya dan rakan sepasukan meraih tiga mata di gelanggang lawan.

"Kemenangan ini juga membuka ruang buat JDT untuk memburu slot ke pusingan seterusnya walaupun masih jauh tapi ia meningkatkan lagi moral kami bagi meneruskan rentak permainan lebih mantap untuk aksi seterusnya," katanya.

Kelicikan Arif Aiman menjadi igauan ngeri buat skuad kendalian Surachai Jaturapattarapong yang tergamam dengan gol penyamaan pemain berusia 21 tahun pada minit keenam selepas menerima hantaran jauh Jordi Amat.

Turut mencipta jaringan buat JDT menerusi Bergson Da Silva pada minit ke-14 manakala Juan Muniz mencipta gol pada minit ke-53 sebelum Arif Aiman memastikan gol pada minit ke-78 apabila menyudahkan bola lontaran Matthew Davies sekali gus melenyapkan sisa perjuangan BG Pathum United untuk kemenangan 4-2 buat skuad Harimau Selatan.

"Amat bersyukur juga kerana menjadi impian saya menjaringkan gol dalam perlawanan di peringkat tinggi seperti saingan ACL tapi kemampuan saya menjaringkan gol bukan hanya seorang sahaja, sebaliknya rakan sepasukan banyak membantu untuk pastikan kejayaan itu.

"Rakan sepasukan yang bertungkus lumus dalam perlawanan itu turut memainkan peranan bagi memastikan kemenangan malah saya berterima kasih juga kepada barisan kejurulatihan yang beri kepercayaan penuh buat saya beraksi," kata Arif Aiman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 5:06 PM