PEMAIN kelab Al-Tahaddi Shaheen antara yang terkorban. FOTO Agensi
PEMAIN kelab Al-Tahaddi Shaheen antara yang terkorban. FOTO Agensi
Agensi

London: Banjir terburuk dalam sejarah Libya turut mengorbankan lima pemain bola sepak elit negara itu, menurut Persekutuan Bolasepak Libya (LFF).

Bencana alam itu yang disebabkan Ribut Daniel mengakibatkan dua empangan pecah dan membanjiri sebahagian besar timur bandar pelabuhan Derna.

Datuk Bandar Derna menganggarkan hampir 20,000 nyawa terkorban manakala ribuan lagi dilaporkan hilang.

LFF mengumumkan kematian empat pemain bola sepak di wilayah itu - Shaheen Al-Jamil, Monder Sadaqa serta adik beradik Saleh dan Ayoub Sasi.

Sadaqa beraksi untuk kelab Liga Perdana Darnes yang berpangkalan di Derna manakala Saleh dan adiknya Ayoub adalah anggota skuad belia.

Shaheen baru-baru ini menandatangani kontrak dengan Al-Tahaddi, satu lagi kelab Liga Perdana di bandar Benghazi.

BBC Sport Africa difahamkan seorang lagi pemain Ibrahim Al-Qaziri, turut terkorban. Dia beraksi dengan beberapa kelab Liga Perdana dan yang terkini bersama kelab tier dua Nusour Martouba.

Darnes antara dua kelab beraksi di Derna selain Al-Afreky, sebuah lagi kelab yang bermain di tier dua atau lebih dikenali Divisyen Pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 6:43 PM