PARTIBAN (kiri) sertai KL City pada 2021.
PARTIBAN (kiri) sertai KL City pada 2021.
Izzali Ismail

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mendapat khidmat pemain sayap lincah Kuala Lumpur City (KL City), J Partiban secara pinjaman bagi menghadapi baki aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Perpindahan pemain kelahiran Perak yang turut digelar 'Kinta Express' itu diumumkan media rasmi Sang Kenari hari ini.

Partiban adalah pemain tempatan pertama yang diumumkan dalam tempoh jendela perpindahan kedua musim ini selepas KDA FC mengikat dua pemain import baharu - Ifedayo Olusegun dan Moses Atede awal bulan lalu.

Menurut Sang Kenari, pengalaman Partiban,30, bakal menyuntik kekuatan di bahagian sayap dan serangan skuad kendalian Nafuzi Zain.

"Kehadiran beliau memberi lebih banyak pilihan di bahagian sayap. Kemuncak kerjaya Partiban adalah ketika Perak mendominasi liga di bawah kendalian Mehmet Durokovic, dan turut membantu KL City FC melangkah ke peringkat lebih jauh dalam saingan Piala AFC serta Piala Malaysia musim lalu.

"Hasrat untuk mewakili KDA FC sudah lama dipendam Partiban, dan akhirnya rezeki tiba tepat pada waktunya apabila permohonan Sang Kenari untuk menawarkan kontrak pinjaman dipersetujui KL City," kata KDA FC dalam satu kenyataan.

Partiban memulakan karier bola sepaknya dengan skuad negeri kelahirannya, Perak pada tahun 2014 dan kemudian berhijrah ke pasukan Sarawak setahun kemudian.

Dia menyertai Terengganu selama satu musim pada tahun 2017 dan kembali memperkasakan Perak bermula musim 2019 hingga 2021.

Partiban menyertai skuad The City Boys pada musim 2021 sebelum KDA FC mengikatnya secara pinjaman hingga akhir musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 9:57 PM