HALIM adalah pemain yang pernah berada di bawah pasukan muda Kedah. FOTO Ihsan KDA FC
HALIM adalah pemain yang pernah berada di bawah pasukan muda Kedah. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Sasaran pemain tengah Halim Saari untuk kembali beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini tercapai apabila dia diumumkan secara sah bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada minit akhir tempoh Jendela Perpindahan kedua.

Bekas 'arkitek' Kedah dan Selangor sebelum ini pernah menyatakan sasarannya kembali mencapai tahap kecergasan untuk beraksi dalam tempoh masa sebulan ketika menjalani proses kecergasan di bawah seliaan Jurulatih Kecergasan Kedah, Helber Richards di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), Alor Setar Jun lalu.

Menurut media KDA FC semalam, proses kecergasan serta pemulihan yang dimulakan Halim sejak awal tahun ini akibat kecederaan lututnya tahun lalu dimanfaatkan sebaiknya oleh Sang Kenari yang kini menyaksikan pemain kelahiran Kulim berusia 28 tahun ini sudah bersedia kembali semula dalam kancah Liga M.

"Selamat kembali bersama Sang Kenari, Halim Saari. Dia adalah pemain yang pernah berada di bawah pasukan muda Kedah pada suatu masa dahulu dan juga antara prospek pemain tengah yang mampu kembali menambah rencah jentera Kedah. Kelab terakhir Halim adalah Selangor FC.

"Dirundung kecederaan sebelum ini, tempoh dia kembali cergas digunakan sebaiknya sejak awal musim ini oleh jurulatih, Nafuzi Zain serta barisan kejurulatihan memberikan kepercayaan berdasarkan pengalaman yang ada untuknya membantu pasukan Sang Kenari.

"KDA FC bersetuju menawarkan kontrak secara menang-menang antara Halim dan Kedah bagi baki saingan Liga M musim 2023, dan prestasi semasa dia akan menjadi ukuran untuk memenuhi terma kontrak melalui prestasi yang dipamerkan," katanya.

Pada hujung tahun lalu, Halim kembali ke Kedah dan menjadikan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah dan kemudian ke KDA FC sebagai tempat untuk menjalani proses pemulihan dari kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dihadapinya pada tahun yang sama.

Disamping itu selain Halim, seorang lagi pemain baharu yang turut diumumkan Sang Kenari semalam iaitu J Partiban pastinya menjadi pemain yang dinantikan penyokong Sang Kenari pada aksi perlawanan Piala Malaysia Kedah menentang Perak FC malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 11:50 AM