SHARUL Nazeem bertekad ingin berikan terbaik dalam membantu pasukan Harimau Malaya. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SHARUL Nazeem bertekad ingin berikan terbaik dalam membantu pasukan Harimau Malaya. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain Harimau Malaya Sharul Nazeem Zulpakar sudah bersedia untuk merampas posisi pertahanan daripada 'orang lama' dalam pasukan kebangsaan pada perlawanan persahabatan menentang Syria dan China pada 6 serta 9 September ini di di Chengdu, China.

Sharul Nazeem berkata, dia menyedari bukan calang-calang nama yang perlu dia 'tundukkan' apabila bahagian pertahanan negara dibarisi pemain hebat seperti Dion Cools, Shahrul Saad dan Dominic Tan yang dilihat turut memiliki kelebihan dari aspek pengalaman.

Katanya, walaupun dia dianggap masih baru dalam skuad kebangsaan namun bertekad ingin berikan terbaik dalam membantu pasukan Harimau Malaya meraih keputusan positif pada perlawanan persahabatan itu.

"Bagi saya bukan mudah untuk bersaing merebut tempat dengan kita semua tahu tempat (posisi) saya ada pemain yang lebih berpengalaman seperti Cools, Shahrul dan Dominic.

"Mereka sudah lama bersama skuad kebangsaan, namun saya berasa tiada tekanan. Saya cuma perlu berikan 100 peratus atas padang dan kalau diberi peluang dalam kesebelasan utama, saya akan buat yang terbaik.

"Saya mahu membantu pasukan meraih kemenangan dan menaikkan lagi ranking Malaysia. Jadi, saya harap dapat buat yang terbaik yang mana pengalaman itu juga saya boleh bawa ke kelab nanti," katanya, ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang kelmarin.

Selain itu, Sharul Nazeem yang turut dikenali sebagai Afro berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada Pan Gon sama ada mahu menurunkannya bagi menghadapi dua aksi persahabatan itu.

"Saya nampak permainan saya lebih kepada agresif dan saya tak tahu jurulatih nak letak saya lawan Syria atau China, itu terpulang kepada beliau. Paling penting saya kena fokus pada perlawanan dan berikan yang terbaik.

"Kita tidak boleh 100 peratus nak agresif kerana kena tengok pasukan lawan juga. Saya minta semua penyokong doakan untuk saya dan rakan sepasukan berjuang di tempat lawan," katanya.

Sharul Nazeem tersenarai dalam 26 pemain yang dipanggil Pan Gon ke kem latihan pusat Harimau Malaya bermula 29 Ogos lalu bagi menghadapi Syria dan China yang mana ia turut menjadi persiapan skuad itu sebelum ke pusingan akhir Piala Asia 2023 awal tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 5:05 PM