TEN Hag dakwa kekalahan kepada Tottenham adalah salah pemain. -FOTO AFP
TEN Hag dakwa kekalahan kepada Tottenham adalah salah pemain. -FOTO AFP
AFP

London: Erik ten Hag memberi amaran kepada bintang Manchester United untuk bertanggungjawab diatas kekalahan kepada Tottenham minggu lalu dan menyelar barisan pemain kerana gagal mempamerkan aksi terbaik mereka.

Ten Hag berang dengan cara pasukannya membiarkan diri mereka hanyut dengan cara permainan tempo tinggi Tottenham pada separuh masa kedua yang menyaksikan mereka tewas 0-2.

Ia adalah persembahan hambar buat kali kedua berturut-turut daripada United selepas kemenangan 1-0 yang turut menyaksikan mereka hampir dimalukan Wolves ketika perlawanan pembukaan musim Liga Perdana (EPL).

"Ia bukan mengenai bahagian tengah. Ia mengenai bahagian belakang dan depan. Itulah sebabnya kami terbuka," kata Ten Hag.

Ditanya mengapa United begitu lesu, pengurus United itu menambah: "Mereka tidak berlari, atau mereka berlari pada saat yang salah, terlalu lewat, terutama bahagian depan, tidak bertindak balas.

"Itu yang berlaku, anda tidak boleh mengubahnya. Tetapi ia satu keperluan di sini, jika anda mahu memenangi perlawanan.

"35 minit pertama, kami begitu bagus dan kami menguasai permainan sepenuhnya. Kami sepatutnya menjaringkan sekurang-kurangnya sekali, tetapi saya fikir dua.

"Mereka tiada di tempat sepatutnya, tiada apa-apa dan kemudian perkara berlaku dalam permainan dan mereka terganggu, tidak melakukan kerja mereka lagi.

"Saya tidak dapat menerimanya kerana mereka selalu melakukannya. Apa yang saya minta untuk Manchester United ialah anda perlu melakukannya 90 minit dan lakukannya dalam setiap perlawanan, tidak kira apa pun."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 9:03 AM