TEN Hag resah dengan prestasi pasukannya di tempat lawan.
TEN Hag resah dengan prestasi pasukannya di tempat lawan.
Reuters

London: Pemain Manchester United perlu mempunyai budaya konsistensi di kelab Liga Perdana (EPL) itu, menurut pengurus Erik ten Hag hari ini.

Dalam aksi terakhir di tempat lawan, United tewas 0-2 di Newcastle tetapi bangkit mengatasi Brentford 1-0 yang melonjakkan mereka kepada 53 mata, tiga mata di hadapan pasukan di tangga kelima Tottenham Hotspur.

Namun ketika ditanya mengenai apa yang ditunjukkan pemainnya ketika menentang Brentford, Ten Hag menegaskan adalah penting untuk pasukan berada pada prestasi terbaik dalam setiap perlawanan dan bukannya hanya bertindak balas selepas tewas.

"Aspek itu yang perlu ditekankan, anda perlu melakukannya dan itu tanggungjawab yang anda perlu berikan apabila beraksi untuk Manchester United," kata jurulatih dari Belanda itu menjelang perlawanan menentang Everton di tempat sendiri esok.

"Anda perlu perlu menggalas tanggungjawab. Ia mengenai permintaan. Anda perlu tetapkan tahap. Ia mengenai budaya, anda perlu sentiasa melakukannya.

"Kepada pemain yang berada di tahap tertinggi, bertanding untuk trofi, anda perlu selalu melakukannya dan konsisten. Ia tugas kita mempunyai mentaliti seperti itu."

United akan berdepan Everton malam esok yang tidak tewas dalam empat aksi terakhir liga termasuk seri ketika menentang Chelsea dan Tottenham Hotspur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 10:22 PM