REAKSI Ronaldo selepas perlawanan menentang Sheriff Tiraspol, Khamis lalu. FOTO Reuters
REAKSI Ronaldo selepas perlawanan menentang Sheriff Tiraspol, Khamis lalu. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag percaya Cristiano Ronaldo masih mampu menjaringkan lebih 20 gol semusim walaupun beliau mengehadkan masa permainan pemain berusia 37 tahun itu.

Ronaldo digugurkan daripada skuad United ketika seri 1-1 di Chelsea hujung minggu lalu selepas enggan masuk sebagai pemain gantian, empat hari selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Tottenham.

Ronaldo kembali menjaringkan gol selepas berada dalam kesebelasan utama ketika meraih kemenangan 3-0 di Liga Europa ke atas Sheriff Tiraspol, Khamis lalu.

Bintang Portugal itu kini sudah meledak tiga gol dalam 13 penampilan di semua pertandingan musim ini.

Bagaimanapun Ten Hag tidak menolak kemungkinan Ronaldo mampu menyamai rekod 24 gol yang dijaringkannya musim lalu.

"Terpulang kepadanya. Tapi saya fikir apabila anda melihat semua peluang yang diciptanya, dia nampak masih mampu untuk menjaringkan lebih banyak gol," kata Ten Hag.

Ronaldo hanya dua kali berada dalam kesebelasan utama di saingan Liga Perdana dengan sebahagian besar peluang diperolehinya untuk beraksi adalah di Liga Europa.

Bagaimanapun Ten Hag menafikan beliau hanya memberi peluang lebih banyak kepada Ronaldo beraksi di Liga Europa.

"Saya tidak mempunyai set pasukan berbeza di Liga Europa dan di Liga Perdana.

"Saya melihat kepada pihak lawan, apa yang kita perlukan untuk menentang lawan sebegitu. Sekarang saya perlu memberi tumpuan kepada West Ham United untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 7:55 AM