McTominay (kiri) ledak gol kemenangan United. -FOTO AFP
McTominay (kiri) ledak gol kemenangan United. -FOTO AFP
Reuters

Manchester: Selepas kekalahan di Newcastle yang mencetuskan lebih banyak laporan mengenai pergolakan di bilik persalinan Manchester United, pengurusnya yang terus ditekan, Erik ten Hag berkata pasukannya mahu menghantar mesej kepada peminat mereka di Old Trafford.

Misi itu tercapai apabila Scott McTominay menjaringkan dua gol dan United menguasai Chelsea secara menyeluruh untuk kemenangan 2-1, kemenangan yang membantu United naik ke tangga keenam dalam kedudukan carta menerusi kemenangan keempat dalam lima perlawanan Liga Perdana.

"Kami gembira dengan keputusan dan persembahan. Kami layak mendapat tiga mata ini," kata Ten Hag.

"Kami mahu menghantar mesej ini kepada peminat dan ini juga gaya kami. Dalam 30 minit pertama kami melakukannya dengan sempurna di atas padang.

"Apabila anda tidak berada dalam prestasi terbaik pada hari itu, anda akan dihukum," tambah Ten Hag.

"Anda perlu berada pada tahap terbaik anda. Apabila anda tidak melakukannya, anda akan menerima padah. Kami tahu itu dan kami memerlukan sikap yang betul setiap perlawanan."

Kelab itu tidak membenarkan empat wartawan menyertai sidang akhbar pra-perlawanan selepas mereka melaporkan bahawa pengurus itu kehilangan lebih daripada 50 peratus sokongan di bilik persalinan.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata mereka menghalang wartawan kerana mereka tidak memberi hak kepada United untuk membalas cerita negatif itu.

Ten Hag berkata lagi bahawa dia tidak peduli dengan apa yang dilaporkan.

"Saya tidak peduli dengan bunyi bising itu," katanya. "Mereka sudah biasa dengannya. Ia sama (semasa dia berjaya di) Ajax, di negara yang lebih kecil jadi kurang orang."

Kemenangan itu menyaksikan penyokong di tempat duduk Stretford End menyanyikan lagu "Erik ten Hag Red Army" pada minit-minit terakhir permainan manakala pemain tengah Sofyan Amrabat mempertahankan pengurusnya selepas kemenangan.

"Dia antara yang terbaik di dunia," kata Amrabat. "Dia seorang jurulatih yang hebat dan kami semua berada di belakangnya."

Ten Hag memuji persembahan McTominay.

Walaupun dia menjaringkan dua gol dan adalah penjaring terbanyak United dalam liga musim ini dengan lima gol, dia mempunyai banyak peluang lain, termasuk dua rembatan pantas yang memaksa penjaga gol Robert Sanchez melakukan penyelamatan berganda.

"Dia melakukan tugas dengan hebat," kata Ten Hag. "Dia mempunyai peranan penting untuk dimainkan. Dia seorang pemain yang sangat bagus. Dalam penguasaan bola dia sangat dinamik. Dia menjaringkan dua dan boleh mempunyai lebih banyak."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 8:21 AM