TEN Hag (dua dari kiri) memberi arahan kepada pemain United iaitu Donny van de Beek (kanan), Cristiano Ronaldo (tengah) dan Diogo Dalot. FOTO AFP
TEN Hag (dua dari kiri) memberi arahan kepada pemain United iaitu Donny van de Beek (kanan), Cristiano Ronaldo (tengah) dan Diogo Dalot. FOTO AFP
Reuters

Birmingham: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag kecewa dengan cara pasukannya bertahan ketika tewas 1-3 kepada Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam, dan menyatakan mereka gagal mengikut peraturan mengenai cara bermain di benteng.

United hadir untuk perlawanan di Villa Park dengan rekod tidak kalah dalam sembilan aksi terakhir dan prestasi itu menyebabkan mereka tidak jauh ketinggalan berbanding kelompok empat pasukan teratas liga.
Tetapi, selepas dibolosi dua gol dalam tempoh lima minit, semalam, mereka kelihatan tidak mampu meneruskan rekod cemerlang itu.

Gol sendiri Jacob Ramsey memberikan sinar buat United untuk bangkit melawan sebelum rehat, namun pemain sama cemerlang pada babak kedua dan menjaringkan gol ketiga Villa empat minit selepas rehat.

"Apabila ada memulakan perlawanan dengan cara begitu, anda sudah pasti tewas," kata Ten Hag.

"Aksi selanjutnya seperti kami hilang segala-galanya kerana kami tidak menekan lawan. Hari ini, kami tidak melakukannya sejak permulaan dan kami hilang keseimbangan.

"Kami tidak mengikut peraturan ketika bertahan dan kecundang dalam perjuangan. Pemain di tengah padang perlu memenangi perlawanan dan jika mereka melakukan tugasan dengan 100 peratus, semangat dan keinginan, ikut peraturan serta prinsip dalam bola sepak, kami akan menang perlawanan ini."

Pengendali dari Belanda itu mengkritik permainan anak buahnya pada babak kedua apabila terlalu banyak bertukar hantaran sedangkan mereka sepatutnya menekan lawan untuk kembali bangkit.

"Anda perlu membuat hantaran lintang pada waktunya," katanya.

"Kami mencuba untuk melakukannya, tetapi tidak menjadi kenyataan. Saya fikir, agak bodoh untuk melakukannya kerana kami membuat hantaran terlalu cepat dan terlalu jauh."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 10:26 AM