FANDI harap keputusan perlawanan dapat diterjemahkan dengan kemenangan untuk melangkah ke pusingan seterusnya. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
FANDI harap keputusan perlawanan dapat diterjemahkan dengan kemenangan untuk melangkah ke pusingan seterusnya. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC akan menyenaraikan kesebelasan utama apabila melayan kunjungan Harini Selangor FT pada perlawanan kedua pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, petang esok.

Ia disahkan pengendali skuad itu, Fandi Ahmad selepas menyaksikan Sri Pahang hanya mencatat kemenangan tipis 3-2 pada perlawanan pertama ke atas kelab M3 itu.

"Saya boleh katakan bahawa senarai pemain yang akan berdepan Harini Selangor esok, membabitkan pemain utama termasuk menyenaraikan lima pemain import.

"Pada perlawanan pertama, saya menyenaraikan barisan pemain kedua yang menyaksikan perlawanan hampir berkesudahan seri 2-2 sebelum jaringan minit terakhir perlawanan yang memastikan kami menang 3-2.

"Tetapi dengan persembahan bertenaga yang dipersembahkan lawan, pemain tidak boleh leka terutama selepas mendahului," katanya.

Ditanya sama ada dua pemain import dari Brazil, Rafael Silva atau Lucas Silva akan berada dalam senarai esok, Fandi belum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Sebaliknya, katanya, penjaring terbanyak skuad Tok Gajah, Kpah Sherman tetap menjadi sandaran utama untuk membolosi gawang Harini Selangor.

"Saya harap keputusan perlawanan dapat diterjemahkan dengan kemenangan untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

"Harapan saya kepada pemain ialah mereka tidak terlalu yakin apabila mendahului dan perlu kekal fokus berakhir perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 3:45 PM