INGRESO (kiri) mungkin tidak beraksi malam esok akibat kecederaan.
INGRESO (kiri) mungkin tidak beraksi malam esok akibat kecederaan.
Asrol Awang


Kuantan: Fandi Ahmad mengesahkan bakal merombak kesebelasan utama Sri Pahang FC apabila berdepan kelab Liga M3, Harini Selangor FT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Pengendali Tok Gajah itu berkata, rombakan itu lebih kepada memberi lebih peluang kepada barisan pemain simpanan beraksi.

"Namun, rombakan ini mungkin hanya membabitkan tiga atau empat pemain kerana saya tahu Harini turut memiliki pemain berpengalaman yang pernah beraksi di Liga Super sebelum ini.

"Begitu juga senarai pemain import kerana kemungkinan hanya empat pemain yang akan beraksi. Rombakan ini bukannya bermaksud kita memandang mudah keupayaan lawan tetapi ia juga memastikan Sri Pahang pada prestasi terbaik apabila bersaing dalam Liga Super nanti," katanya.

Fandi yang juga legenda bola sepak Singapura, berkata faktor kecederaan juga menyebabkan rombakan dilakukan.

Katanya, antara pemain yang mengalami kecederaan ketika ini ialah Fadhli Shas, Zuhair Aizat Mohd Nazri dan Kevin Ingreso.

"Oleh itu, saya mahu pemain mendapatkan gol seawal mungkin sebagai motivasi untuk mencatat kemenangan selesa. Saya jangkakan Harini akan bermain secara bertahan dengan lima pemain berada di bahagian pertahanan.

"Kemenangan itu juga penting sebagai bekalan apabila bertemu sekali lagi pada perlawanan kedua di Stadium Darul Makmur, 20 Ogos depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 3:24 PM